loading...

Bayi 5 Bulan Terperangkap Dalam Banjir Kilat

SEREMBAN – Seramai sembilan orang termasuk bayi berusia lima bulan terperangkap dalam kereta disebabkan oleh banjir kilat di hadapan Sekolah Kebangsaan Mambau dekat sini petang tadi.

Pegawai Bomba Kanan Dua dari Balai Bomba Seremban 2, Mohd Faizal Abd Rahman berkata pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 5.58 petang dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian mendapati tiga buah kereta terperangkap dalam banjir kilat itu berikutan hujan lebat yang berterusan selama tiga jam.

“Antara kereta yang terperangkap ialah Proton Saga yang dinaiki seorang wanita dan dua lelaki manakala sebuah Proton Wira pula seramai lima orang termasuk seorang bayi dan kanak-kanak perempuan dan sebuah Nissan Grand Livina yang dipandu seorang wanita.

“Ketika pihak kami sampai ke tempat kejadian, ketiga-tiga kereta berkenaan sudah dimasuki air dan bomba menggunakan tali untuk menyelamatkan kesemua mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Faizal berkata kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata ketiga-tiga kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Port Dickson.
Seramai 12 anggota bomba terlibat dalam operasi ini. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...