loading...

Banjir Kilat Di Bandar Baharu Masih Terkawal

BANDAR BAHARU – Keadaan banjir kilat yang melanda Bandar Baharu sejak awal bulan ini masih dianggap terkawal meskipun membabitkan keseluruhan lebih 500 mangsa.

Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Fauzi Mustafa berkata, ia berikutan langkah proaktif yang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim-Bandar Baharu yang banyak membantu mengurangkan kejadian banjir kilat di daerah ini.

“Kerja-kerja membersihkan sungai yang aktif dilakukan JPS secara berkala banyak membantu mengatasi masalah banjir kilat di sini. Jika dilihat rekod lampau, kita jangka lebih banyak kawasan dan mangsa yang akan terlibat tetapi alhamdulilah, kebanyakannya dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sehingga jam 10.30 pagi tadi, seramai 12 mangsa dari tiga buah rumah berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ulu di sini sebelum pusat itu ditutup secara rasmi ekoran paras air telah surut sepenuhnya di kawasan rumah mangsa.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya dan agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) banyak melakukan kerja-kerja pencegahan awal sejak cuaca buruk bermula pada awal Ogos lepas.

“Antaranya, kita melakukan pemindahan ke atas mangsa banjir kilat walaupun ia hanya berlaku sekadar satu jam atas faktor keselamatan.

“Ini dilakukan memandangkan corak air naik sering berlaku pada lewat petang atau malam dan kita bimbang paras air yang mungkin meningkat pada bila-bila masa yang sekali gus membahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Tepus dan Pasir Debu, Mohd Saleh Mat Nasib berharap kerja-kerja mendalamkan anak sungai sepanjang lebih tiga kilometer oleh JPS yang bermula hari ini dapat mengatasi masalah banjir kilat di dua kampung tersebut.

Tambahnya, kerja-kerja meninggikan tebing dan memasang parit konkrit yang dilakukan juga akan membantu 103 buah rumah yang terdapat di dua kampung berkenaan bebas daripada masalah banjir kilat pada masa hadapan.

Mohd Saleh turut mendakwa kejadian banjir di kampung itu sering berpunca daripada limpahan 19 longkang pada Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang memasuki anak sungai Sungai Tepus dan Sungai Dunit yang hanya berkedalaman tidak sampai dua meter.

“Perkara ini sudah berlarutan lebih 10 tahun dan kali ini paling teruk kerana sudah tiga kali banjir kilat berlaku sejak awal bulan ini. Lebih buruk apabila jalan utama keluar masuk ke kampung ini pernah terputus hubungan apabila air sungai tersebut melimpah dengan arus yang agak kuat,” katanya. – Bernama

Loading...

Previous
Next Post »
loading...