loading...

10 Negara Dengan Kelajuan Internet Paling Pantas Di Dunia

internet terpantas

Kelajuan internet paling pantas pernah dicatatkan di dunia adalah 32 TBps atau 32,000,000 Mbps. Ia dihasilkan oleh penyelidik di Eindhoven University Technology di Belanda, dan University Central Florida, menggunakan serat multi-modal. Ia bukan satu ujian, sambungan internet ini diukur pada fiber berukuran 1 kilometer.

Dengan kelajuan ini, anda hanya memerlukan 0.03 milisaat untuk memindahkan filem bersaiz 1GB, atau 1TB dalam masa 0.03 saat. Jika itu belum cukup hebat, cuba bayangkan, 32TBps adalah jumlah keseluruhan trafik yang melalui internet di seluruh dunia, pada waktu puncak. Dah ternganga tak?

Bagi Malaysia, purata kelajuan internet adalah sepantas 4.9 Mbps. Sebanyak 52% daripada keseluruhan kawasan di Malaysia mempunyai kelajuan internet melebihi 4 Mbps, 4% melebihi 10 Mbps dan 0.9% melebihi 15 Mbps

iluminasi.com ingin berkongi 10 negara dengan purata kelajuan internet paling pantas di dunia.

Nota: Purata kelajuan adalah berdasarkan tahun 2017, dan purata kelajuan puncak berdasarkan suku ketiga tahun 2015.

10. Amerika Syarikat

white house washington dc

Purata kelajuan : 18.7 Mbps
Purata kelajuan puncak : 57.3 Mbps

Walaupun Amerika Syarikat dikatakan sebagai antara negara termaju, dan negara yang menghasilkan individu hebat dalam bidang teknologi, namun tahun 2017 merupakan kali pertama negara ini berada dalam senarai 10 negara dengan internet terlaju.

Kelajuan 18.7 Mbps merupakan peningkatan sebanyak 22% dari tahun sebelumnya iaitu 15.3 Mbps. Kawasan yang mempunyai akses internet terpantas di Amerika Syarikat adalah Washington DC dan diikuti dengan Delaware dan Massachusetts.

9. Denmark

aarhus denmark

Purata kelajuan : 20.1 Mbps
Purata kelajuan puncak : 50.1 Mbps

Berada di tangga ke-9 adalah Denmark yang mana purata kelajuan internetnya menurun sedikit daripada suku ke-4 tahun 2016, kepada 20.1 Mbps. Liputan internet di Denmark merupakan antara yang terbaik di dunia, dengan 94.3% daripada seluruh kawasan di negara ini mempunyai akses internet dengan kelajuan melebihi 4 Mbps pada tahun 2015.

8. Jepun

jepun 868

Purata kelajuan : 20.2 Mbps
Purata kelajuan puncak : 78.4 Mbps

Negara yang wajib ada dalam senarai yang melibatkan teknologi adalah Jepun. Jepun merupakan sebuah negara yang sangat produktif dan sangat mementingkan disiplin. 

Pada tahun 2017, purata kelajuan internet di Jepun meningkat sebanyak 11% daripada tahun 2016, daripada 18.1 Mbps. Jepun adalah negara dengan internet ke-4 terpantas di Asia.

7. Singapura

singapura 306

Purata kelajuan : 20.3 Mbps
Purata kelajuan puncak : 135.4 Mbps

Walaupun merupakan jiran Malaysia, namun purata kelajuan internet di Singapura adalah 4 kali ganda lebih laju. Peningkatan YoY (tahun ke tahun) kelajuan internet Singapura adalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 24% daripada tahun 2016, menjadikan kelajuannya daripada 18.2 Mbps kepada 20.3 Mbps.

Ia menjadikan antara negara terkaya di dunia ini sebagai negara ke-7 di dunia dan ke-3 di Asia dengan internet terpantas.

6. Finland

finland 489

Purata kelajuan : 20.5 Mbps
Purata kelajuan puncak : 57.4 Mbps

Selain menjadi pendahulu dalam bidang pendidikan yang terbaik di dunia, Finland juga merupakan negara dengan akses internet terpantas di dunia. Sebanyak 15% peningkatan kelajuan daripada tahun 2016 kepada tahun 2017, menjadikan kelajuannya sepantas 20.5 Mbps.

Finland juga merupakan di kalangan negara terbaik disebabkan oleh tahap keusahawanan rakyatnya dan juga kualiti hidup yang tinggi.

5. Switzerland

switzerland 382

Purata kelajuan : 21.7 Mbps
Purata kelajuan puncak : 62.6 Mbps

Switzerland adalah negara yang menduduki tangga pertama senarai negara terbaik di dunia 2017 dengan servis kewangan yang maju dan sektor pembuatan berteknologi tinggi. Ia tidak terlepas untuk tersenarai antara negara dengan purata kelajuan internet paling laju di dunia.

Pada tahun 2017, kelajuan 21.7 Mbps merupakan peningkatan sebanyak 16% daripada tahun 2016.

4. Hong Kong

hong kong 690

Purata kelajuan : 21.9 Mbps Mbps
Purata kelajuan puncak : 101.1 Mbps

Negara ke-4 di dunia, dan ke-2 di Asia dengan purata internet terpantas adalah Hong Kong. Hong Kong juga merupakan antara negara dengan sekatan penggunaan internet terketat di dunia.

Namun ia tak menghalang negara mengalami peningkatan kelajuan internet sebanyak 10% menjadikannya sepantas 21.9 Mbps pada tahun 2017.

3. Sweden

sweden 285

Purata kelajuan : 22.5 Mbps
Purata kelajuan puncak : 69 Mbps

Negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan progresif, Sweden, berada di tangga ke-3 senarai ini. Pada tahun 2016, Sweden berada di tangga ke-4 senarai ini, namun mengalami peningkatan sebanyak 9.2%, lantas memintas Hong Kong.

Kelajuan purata internet Sweden pada tahun 2017 adalah 22.5 Mbps.

2. Norway

oslo norway 576

Purata kelajuan : 23.5 Mbps
Purata kelajuan puncak : 55.9 Mbps

Berada di tangga kedua senarai ini, dan pertama di Eropah, adalah jiran kepada Sweden iaitu Norway. Seperti Sweden, Norway juga telah naik satu tangga pada tahun 2017 yang mana ia berada di kedudukan ke-3 pada tahun 2016.

Peningkatan sebanyak 10% membawa kepada purata kelajuan internet Norway menjadi 23.5 Mbps.

1. Korea Selatan

korea selatan 72

Purata kelajuan : 28.6 Mbps
Purata kelajuan puncak : 86.6 Mbps

Negara K-Pop ini mengungguli carta negara dengan purata kelajuan internet paling pantas di dunia, iaitu 28.6 Mbps, jauh meninggalkan Norway di tangga kedua. Anda pasti tidak terkejut Korea Selatan sebagai negara dengan internet paling laju. Ia dibuktikan dengan teknologi yang sangat ke hadapan, membuatkan apa sahaja mudah menjadi tular di Korea Selatan.

Dan juga, Korea Selatan merupakan satu-satunya negara dalam senarai ini, yang mengalami penurunan kelajuan internet, iaitu sebanyak -1.7%. Namun, ia masih tetap berada di kedudukan pertama, dan selama 3 tahun berturut-turut sejak tahun 2015.

Rujukan :

1. Akamai

2. Fast Metrics

Previous
Next Post »
loading...