loading...

Pemandu GrabCar Dikeluar Daripada Perkhidmatan

KUALA LUMPUR: GrabCar Malaysia dengan serta merta mengeluarkan daripada perkhidmatannya pemandu yang didakwa telah mencabul seorang penumpang sementara menunggu polis selesai menjalankan siasatan.



Ketua GrabCar Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan berkata insiden itu amat membimbangkan dan keutamaan syarikat sekarang ialah membantu dan memberi sokongan kepada penumpang dan keluarganya selain bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

"Kami kesal bahawa ada satu insiden telah dilaporkan pada 11 Jun membabitkan seorang pemandu GrabCar yang didakwa telah mencabul seorang penumpang.

"Kami mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap apa-apa insiden jenayah dan salah laku serius oleh pemandu," katanya.

Menurut laporan media, polis telah menahan pemandu perkhidmatan GrabCar yang didakwa merogol seorang penumpang wanita dalam keretanya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada Ahad.
Menurut laporan, suspek berusia 30 tahun didakwa telah merogol mangsa yang dikatakan berada dalam keadaan mabuk dalam kereta suspek kira-kira 4 pagi.

Sementara itu, Goh berkata GrabCar telah melaksanakan penapisan ketet ke atas pemandu dan menyiasat latarbelakang bagi memastikan mereka tiada rekod jenayah dan komited untuk terus melaksanakan penapisan, latihan dan inisiatif lain untuk menjamin keselamatan penumpang.

Beliau berkata GrabCar telah memperkenalkan aplikasi "butang panik yang disambung terus ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membolehkan pemandu menghubungi polis jika kecemasan dan sedang mempercepatkan untuk melaksanakan aplikasi itu kepada penumpang.

"Keselamatan penumpang dan pemandu menjadi keutamaan GrabCar.-Bernama


Previous
Next Post »
loading...