loading...

'Abang nikah dengan sayang sebab nak buat isteri, bukan nak buat orang gaji'

Terlelap lepas Isyak, tersedar balik dalam pukul 2.30 pagi. Cari suami tengok kiri kanan, tak ada. Dengar bunyi berketuntang di dapur.

1


"Sah-sah laki aku tengah masak," monologku.

Teringat masa sebelum nikah, saya beritahu suami. "Abang, saya ni tak rajin masak, tak rajin membasuh kain, lipat baju, mengemas rumah segala bagai. Bangun tidur pun boleh lajak tengahari," jujur saya beritahu dia.

Dia senyum, "Abang nikah dengan sayang sebab nak buat isteri, bukan nak buat orang gaji," katanya.

Sentap kejap saya. Saya tunduk diam, senyum. Kes saya mungkin sedikit 'special'. Bernikah dengan seorang duda yang ber'tattoo' yang tidak arif perihal agama dan memiliki seorang anak perempuan hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isterinya.

Dia pernah bernikah dan pernah gagal dalam institusi perkahwinan. Saya lihat sendiri bagaimana dia berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki hubungan terdahulu dan bagaimana dia menjadikan kesilapannya dulu sebagai mengajaran dan pedoman dalam hubungan kami.

Seperti hari-hari biasa, manusia memandang kami dengan pandangan yang 'kejam'. Saya tidak pernah marah pada 'tattoo'nya walaupun di awal perkenalan kami dahulu saya kurang senang dengan 'tattoo'nya. Astaghfirullah... itulah kelemahan saya dahulu. Juga seperti masyarakat lain yang memandang dia dengan pandangan yang 'senget'.

Pandangan masyarakat juga pada kami seolah-olah kami tidak layak bersama memandangkan dia dan 'tattoo'nya sedangkan saya berjubah dan berniqab. Ini perkara biasa yang kami lalui sepanjang kehidupan kami bergelar suami isteri.

Bayangkanlah kami pernah terserempak dengan dengan sekumpulan wanita yang berjubah, berpurdah dan berniqab sekalipun, mereka akan mencuit lengan sesama mereka, memandang kami sambil menjeling dan berbisik-bisik lalu pergi dengan langkah yang laju.

Begitu juga andai kami terserempak dengan golongan pak-pak aji atau lelaki-lelaki yang berjubah, bersongkok atau berkopiah. Ada yang menggeleng-geleng kepala, ada yang sampai terjegil biji mata. Ada yang tak lepas pandang. Kejap-kejap pandang saya yang berjubah berniqab ini, kejap-kejap pandang suami yang ber'tattoo'.

Bayangkan juga bagaimana andai institusi agama Islam sendiri memandang kami dengan pandangan yang 'pahit untuk ditelan' sedangkan Islam itu agama yang baik, sempurna, syumul.

Saya rasa andai kalian di tempat kami, tak ramai yang memiliki hati yang cekal dan 'tough'. Banyak perkara yang boleh buat kita makan hati dengan masyarakat namun hati kena kuat.

Bila ditanya kenapa suami masih ber'singlet'? Saya ambil ia sebagai jalan penghijrahan. Andai kalian faham, jalan penghijrahan seseorang bukan makan masa yang singkat. Saya sendiri pun walaupun berjubah dan berniqab, masih lagi lalai dengan agama. Jalan penghijrahan tidak perlu drastik.

Saya banyak mengambil contoh diri saya sendiri dalam landasan perjalanan menuju jalan Allah SWT. Ada orang Allah bagi perjalanan hijrahnya cepat, ada orang rezeki perjalanan hijrahnya makan masa. Setiap orang rezeki taufik hidayahnya tidak sama.

Manusia memang akan cepat menilai dan nampak keburukan, kelemahan dan keaiban manusia lain. Bagi saya, untuk permulaan perjalanan hijrah yang makan masa ini, suami dah tanggalkan subang yang dipakainya pun saya dah sangat bersyukur. Orang lain takkan faham apa yang dirasa oleh isterinya. Saya terima suami seadanya walaupun saya tahu jalan penghijrahan itu makan masa yang amat panjang
1

Saya ingat lagi, saya pernah ajukan satu soalan kepada suami memandangkan saya tahu bekas isterinya seorang yang free hair tidak bertudung.

"Abang suka saya pakai tudung?" agak mengarut soalan saya ketika itu.

"Ehh sukalah!" jawabnya membuatkan saya ketawa.

"Abang suka saya pakai niqab?"saya tanya.

"Suka sangat, sayang... Pakailah. Biar abang seorang je yang tengok sayang. Tak nak bagi orang lain tengok!" jawabnya.

Demi Allah saya happy giller dengar jawapan itu, jawapan dari suami sendiri. Sebab saya sedar, ramai kawan-kawan saya yang dahulunya berpurdah dan berniqab namun selepas bergelar isteri, purdah atau niqab tiada lagi menutupi wajah mereka.

Tak apalah, tak kisah pasal itu. Muka bukan aurat cuma bagi saya, bila dianugerahi Allah SWT seorang suami yang masyarakat pandang 'jahat' dengan tattoo yang penuh di tangan, dada, jari, belakang dan kaki, tiada siapa pun yang menjangkakan lelaki ini walaupun tidak pandai tentang selok-belok agama namun dia seorang yang sangat tegas menjaga SOLAT dan AURAT isterinya.

Ya Allah, belum lagi masuk kisah solat, di mana suami yang ber'tattoo' ini kalau dah masuk waktu solat, jika dilihatnya isterinya masih ralit dengan smartphone di tangan, cukup sekadar suami berdehem., cepat-cepat si isteri berlari mengambil wudhuk!

Begitu juga di kala orang lain memilih pakaian pelbagai fesyen untuk Hari Raya, suami pula lebih gemar saya memakai jubah, bertudung labuh dan berniqab.

"Baju kurung pun tak boleh? Tutup aurat juga," soal saya.

Lama suami terdiam. Mungkin terkedu dengan soalan isteri. Lantas dia memeluk bahu isterinya sambil berkata, "Abang suka sayang pakai jubah lagi."

Saya pun ketawa. Hahaha!

Bila ditanya kenapa saya yang berjubah, berpurdah, berniqab ini tidak memilih lelaki yang pandai agama, bukan dari golongan ustaz atau yang bersongkok, berkopiah, berjubah? Saya senyum, biarlah ia menjadi simpanan rahsia yang paling dalam. Tidak mahu membuka aib mana-mana institusi keagamaan. Biar saya simpan pendam segala trauma yang paling dahsyat yang pernah menghantui sepanjang hidup.

Biarlah saya membuka lembaran baru dalam hidup bersama seorang suami yang dipandang 'kaca' yang tidak bernilai oleh masyarakat namun dia adalah 'berlian' paling menyerlah dalam qalbu.

Dear husband,

No matter what apa orang nak cakap, ini isterimu yang sentiasa ada disisi dengan izin Allah SWT. Tak tahu nak ucap terima kasih macam mana lagi dah sebab semua pakaian, boots, cadar, dia yang basuh cuci. Dia yang masak, dia yang mengemas rumah, dialah yang bertukang kalau ada apa-apa yang perlu diperbaiki rosak di rumah. Dialah tempat mengadu, dialah peneman, dialah tempat bermanja, dialah kawan kaki gaduh kahkah!

Sampai satu masa, saya pernah tanya suami, "Kalau perkahwinan kita ini Allah uji dengan tiada anak?"

Suami akan peluk erat, "Abang tak kisah pun semua tu. Ada ke tak ada ke. Itu semua kerja Allah. Macam pernikahan kita inilah. Abang sendiri tak jangka boleh bernikah dengan sayang yang bertutup-tutup macam ini.

"Banyak benda yang kita tak tahu tapi Allah SWT dah persiapkan untuk kita sebab yang memberi rezeki semuanya adalah Allah SWT. Kenapa perlu ada persoalan dengan kerja Allah?" jawab suami.

Allah... sentap!

Fabi ayyi ala'i rabbikuma tukazziban. Nikmat tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas anugerah yang terindah. #BukanYakuza

Sumber: Sha Ramson Abdullah
Previous
Next Post »
loading...