loading...

Wanita Kerdil Mengaku Puteri Sultan, Tipu Doktor RM1.2 Juta

KUALA LUMPUR — Seorang wanita kerdil yang mendakwa dirinya puteri Sultan Pahang dipenjara tiga tahun dua bulan oleh Mahkamah Mahkamah Majistret Ampang di sini, semalam kerana menipu seorang pakar bedah kosmetik bergelar Datuk.

Rohaida Yahlil, 41, mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan atas 53 pertuduhan menipu Datuk Dr Abdul Jalil Jidon, 60, untuk mempercayai dia adalah puteri Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bagi memperdaya mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.203 juta kepadanya.

Rohaida yang bertongkat dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dua bulan bagi 34 pertuduhan oleh Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh pula menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi 19 pertuduhan terhadap wanita itu.

Kedua-dua mahkamah memerintahkan tertuduh, seorang eksekutif insurans, supaya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap kelmarin (13 Mac 2017).

Berdasarkan 53 pertuduhan itu, Rohaida didakwa menipu Dr Abdul Jalil dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah Yang Amat Mulia Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai melalui cek untuk dimasukkan ke akaun Maybank, Khuzairiah Abdul Latiff, yang merupakan rakannya.

Bagi mendapatkan wang itu, tertuduh menggunakan dua alasan iaitu pembayaran cukai kepada Bank Negara bagi membolehkan wang masuk dari luar negara dan untuk kegunaan peribadi Sultan Pahang.

Ketika rayuan, wanita itu yang tidak diwakili peguam, sambil menangis memberitahu mahkamah bahawa dia melakukan perbuatan itu kerana mahu terus didampingi rakan-rakannya.

“…duit ini untuk belanja rakan-rakan saya untuk rapat dengan mereka… kerana mereka tak boleh terima saya.

“Dengan adanya duit ini, mereka sentiasa di sisi saya,” katanya tersekat-sekat sambil memohon hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dan Raihanah Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kesalahan serius tertuduh yang menggunakan nama raja negara.

“Penipuan yang membabitkan seorang yang profesional (mangsa) dan melibatkan Sultan Pahang adalah satu jenayah sangat serius.

“Keberanian tertuduh menggunakan nama Sultan Pahang, untuk mendapatkan wang, belanja rakan-rakan adalah tidak wajar,” kata Ahmad Zuhaini.

Berdasarkan fakta kes, pada Jun 2013, Dr Abdul Jalil telah menerima satu panggilan telefon daripada tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai Tengku Aishah, anak perempuan Sultan Pahang, dan meminta mangsa memasukkan wang untuk kegunaan Sultan Pahang.

Tertuduh memberitahu Sultan Pahang akan membayar semula wang itu dalam masa terdekat dan mangsa kemudian memasukkan wang tersebut ke dalam akaun Maybank rakan tertuduh.

Namun, mangsa mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas wangnya tidak dikembalikan semula.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku bersalah atas lapan pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM2,841,690.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 3 April ini untuk menjatuhkan hukuman. — Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...