loading...

Video: ‘Mat Daud’ Mat Saleh Fasih ‘Kecek’ Kelantan

KEHEBATAN warga asing menguasai bahasa Melayu dengan fasih adalah satu perkara yang sangat menarik, malah lebih mengujakan jika mereka ini mampu menguasai loghat negeri di seluruh Malaysia.

Kalau di Terengganu, Mat Dan atau nama sebenarnya, Daniel Tyler mula popular dalam kalangan rakyat negara ini selepas beliau mampu bertutur dalam loghat negeri itu dengan baik – dan beberapa hari lalu sudah pun mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, yang merupakan seorang gadis tempatan.

Tetapi jangan risau kepada peminat Mat Dan, khususnya dalam kalangan wanita yang mungkin ‘makan hati’ selepas mendapat tahu mengenai berita perkahwinan jejaka berasal dari Bristol, England itu kerana anda kini ada ‘calon’ baharu!

Sejak semalam, seorang pemuda warga asing bernama David, atau menggunakan nama Facebook, Fatih İmamoğlu pula menjadi tumpuan masyarakat susulan kehebatan jejaka itu bertutur dalam loghat Kelantan.

Rakaman video menunjukkan David atau dikenali dengan panggilan Mat Daud berusia 24 tahun tular di laman sosial selepas dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama Shahrul Ibrahim pada 9 Mac lalu.

Berdasarkan video berdurasi 56 saat itu, Mat Daud memberitahu merupakan kacukan Amerika Syarikat dan Turki dan dia bekerja di sebuah kedai di Kelantan serta sudah menetap di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sejak lapan tahun lalu.

Kefasihan Mat Daud bertutur dalam loghat Kelantan jelas kedengaran apabila dia mampu menguasai ‘bahasa rasmi’ rakyat Kelantan seperti penggunaan perkataan “kawe” (saya); “bereh boh” (baik boss); serta “ejah” (ikhtiar) dengan begitu baik.

Dalam sesi ‘temubual’ tersebut juga, Mat Daud mengakui bahawa kunjungannya ke Kelantan adalah sekadar untuk berseronok, tetapi tidak menyangka tertarik dengan keunikan negeri tersebut.

Mat Daud turut memuji kecantikan gadis-gadis Kelantan dan dalam nada berseloroh mahu menjadikan gadis di negeri itu sebagai isterinya.

Video tersebut sehingga kini mendapat tontonan lebih 105,000 kali dan dikongsi oleh 1,400 pengguna Facebook.

Semakan di Laman Facebook juga mendapati ramai dalam kalangan netizen memuji ketampanan Mat Daud dan kemampuannya bertutur dalam bahasa Kelantan.

Malah, ada yang berseloroh mahu menjadikan Mat Daud sebagai teman lelaki, selain berpendapat bahawa nama pemuda itu bakal popular seperti Mat Dan. – mD



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...