loading...

Tiada Kerjasama Politik Dengan Umno Tegas PAS

PAS menegaskan parti itu tetap menolak sebarang kerjasama politik dengan Umno meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti Islam itu.

Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS hanya akan bekerjasama dengan Umno BN dalam isu melibatkan kepentingan agama, negara dan masyarakat.

“Jika hal berkaitan kepentingan negara, Islam dan semua rakyat, memang kita akan bekerjasama tetapi ia hanya antara kerajaan, tiada kerjasama politik.

“Kita akan lawan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Taman Melewar, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan perdana menteri semalam yang menyatakan kerajaan persekutuan diterajui BN mendahulukan rakyat dalam sebarang bentuk kerjasama dengan PAS.

Najib juga berkata pemimpin PAS perlu mengetepikan idealogi politik sempit kepartian kerana ia tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

Sementara itu mengenai proses rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula, Mohd Amar berkata setakat ini ia masih lagi di peringkat perbincangan.

“Baru dengar dia cakap apa, kita cakap apa. Kita belum ada persetujuan sama ada nak buat kerjasama atau tak kerjasama, belum ada apa-apa lagi,” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan turut ditanya sama ada perlu atau tidak kerjasama politik berasaskan negeri antara parti-parti politik diwujudkan.

“Itu yang sedang dibincangkan. Kami sudah meminta negeri untuk melihat potensi keperluan untuk perkara itu dibuat.

“Selepas dikumpul, PAS Pusat akan menilai semula semua cadangan,” katanya.-Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...