loading...

Teresa Kok Melenting Isu YAWAS Dibangkitkan Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Teresa Kok tidak berpuas hati selepas isu dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang dikaitkan dengan dirinya dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat semalam oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Ahli Parlimen DAP Seputeh itu bangkit beberapa kali menganggu Irmohizam yang sedang berbahas dalam menjunjung kasih Titah Yang Dipertuan Agong dan mempersoalkan mengapa isu tersebut masih diungkit walhal beliau sudah menafikan wujud salahguna kuasa membabitkan dana tersebut.

“Saya nak tanya bukan kerana apa, kerana saya sebagai anak Selangor terpanggil untuk menyatakan perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan rakyat warga emas dan miskin yang ada di Selangor.

“Dan lebih-lebih lagi yang merisaukan saya kerana ini isu ini dibuktikan lagi menerusi bukti surat di Perbendaharaan Selangor bertarikh 13 Disember 2013 kepada Pengurus Cawangan Ambank memohon membuka akaun bagi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu antara program bawah YAWAS atas nama sembilan Ahli Parlimen pembangkang di sekitar Kuala Lumpur membabitkan jumlah RM10 juta,” kata Irmohizam dipetik dalam sebuah video yang dimuatnaik dalam BNBBC.my.

Teresa tidak berpuas hati dengan Irmohizam lalu bangun tanpa meminta laluan daripada Speaker Dewan Rakyat dan mempertahankan penerimaan dana SMUE itu tidak salah, malah Kerajaan Selangor sudah memberikan kelulusan untuk dana tersebut disalurkan kepada warga Selangor yang menetap di Kuala Lumpur.

“Apa salahnya? Sejak penggal yang lepas Kerajaan Selangor telah beri hak kepada Ahli Parlimen Pakatan di Kuala Lumpur untuk menguruskan SMUE kerana ramai warga Selangor menetap di Kuala Lumpur bagi memudahkan mereka,” ujarnya.

Tindakan tersebut menyebabkan Timbalan Speaker, Datuk Seri Ismail Mohamad Said menyuruh Kok duduk dan menegur tindakannya kerana tidak menghormati peraturan dewan.

“Walaupun apa yang disebut Kuala Selangor menyakitkan hati dan telinga kita, kalau berdiri minta penjelasan dan Kuala Selangor (Irmohizam) duduk baru saya boleh jemput untuk buat pencelahan,” kata Ismail.

Terdahulu, Teresa dilapor mengancam untuk menyaman Jamal dan media yang membuat laporan berhubung tuduhan beliau menyalahguna dana itu untuk rakyat di kawasan Parlimennya.

Jamal sebelum ini mendakwa Teresa berbohong serta hipokrit kerana tidak mengaku telah menggunakan wang hampir RM2 juta sejak 2016 sehingga 24 Februari 2017. – MalaysiaGazette



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...