loading...

‘Tak Faham… Sudah’ Buah Tangan Terbaru Ustaz Kazim

SHAH ALAM – Selepas kejayaan lima buah buku terbitan Karya Bestari sebelum ini, pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias bakal tampil dengan buku terbarunya.

Menurut Mohd Kazim, buku tersebut berjudul ‘Tak Faham… Sudah’ yang memuatkan petikan-petikan menarik ceramah beliau sepanjang 26 tahun karier sebagai pendakwah.

“Berbeza dengan buku yang lepas seperti Tuhan Menguji Kita, ALLAH Bersamamu dan Air Mata Dakwah yang agak serius, kali ini kita lebih santai. Kita ambil daripada ceramah saya yang lebih kepada topik keibubapaan dan akhlak.
“Kebanyakannya ialah daripada kuliah dan ceramah saya yang orang suka dengar. Itu konsep baharu yang diperkenalkan agar pembaca tidak bosan,” katanya ketika kunjungan ke Sinar Harian, di sini.‎

Mohd Kazim berkata, istimewanya buku ini ia mengandungi ceramah-ceramah lama beliau yang tidak didapati di mana-mana.

“Suatu ketika dahulu saya dikenali dengan ceramah yang dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD). Ketika itu, banyak idea dan kata-kata saya yang ‘segar’ diambil daripada kitab-kitab

“Saya sendiri merindui pendekatan ceramah yang digunakan sewaktu saya muda. Maka, sekarang kita adaptasi ceramah itu kepada buku kerana lebih tahan lama untuk tatapan anak cucu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kazim berpendapat, buku merupakan salah satu medium yang penting untuk menarik minat masyarakat terhadap dakwah.

“Kita jangan lupa penulisan buku dan konsep membaca ini memang ada dalam al-Quran. Maknanya, akan sentiasa orang yang membaca dan ilmu itu datang daripada pembacaan serta penulisan.

“Kalau ada yang cakap buku sudah tidak relevan, itu mungkin kerana strategi dan penulisan yang tidak betul,” katanya.

Menurut beliau, buku yang disasarkan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan belia itu akan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung 28 April hingga 8 Mei ini.

“Saya berterima kasih kepada Karya Bestari dan Karangkraf yang memberi saya peluang ini. Saya harap setelah membaca buku ini, pembaca dapat berfikir mesej yang disampaikan,” katanya.-SInar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...