loading...

Percaturan Hael Menjadi

Selepas meninggalkan kumpulan duo Azhael, Hael kurang pasti apakah cabaran yang akan menantinya.

Namun, dia bertindak bijak kerana sebelum keputusan itu dibuat, dia sudah menyediakan ‘modal’ bagi membantunya bergerak sebagai penyanyi solo.
Buktinya, selepas beberapa hari meninggalkan Azhael, Hael tampil dengan single pertamanya sebagai penyanyi solo berjudul Jampi.

Pada masa sama, Hael turut bimbang kerana lagu itu diciptanya 100 peratus mengikut kehendak dan cita rasanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana Jampi akhirnya mendapat sambutan memberangsangkan daripada pendengar.

“Saya bukan tidak yakin tetapi bimbang jika percaturan saya untuk lagu itu tidak menjadi. Ini kerana Jampi berbeza dengan lagu Azhael sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya mengambil dari sudut positif dan jadikan pengukur untuk membina identiti. Saya bersedia jika ia tidak diterima dan meneliti kembali kelemahan karya saya,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 10 Februari lalu, jumlah tontonan video lirik Jampi di YouTube mencecah lebih 100,000 dalam tempoh seminggu.

Hingga hari ini, video lirik Jampi ditonton hampir setengah juta pelayar Internet.

Ia sekali gus melegakan Hael bahawa lagunya itu ada kekuatan tersendiri.

Seperti juga judulnya, ia bagaikan berjaya ‘menjampi’ ramai untuk melakukan ‘cover version’ lagu berkenaan.

“Itulah matlamat sebenar saya. Saya mahukan lagu berkenaan berjaya meresap dengan cepat dalam jiwa penonton. Nampaknya, misi saya berjaya selepas peminat terus menyokong dengan menonton video liriknya di YouTube.

“Selain itu, ramai juga turut menyanyikan semula lagu itu dalam cara mereka tersendiri di media sosial. Saya sangat terharu kerana rata-ratanya mengakui melodi lagu itu mudah melekat dalam kepala,” katanya.

Lega dapat banyak sokongan

Apa yang pasti, kebimbangan Hael kian pudar dengan penerimaan itu dan dia tidak mahu mensia-siakan peluang berkenaan.

“Terima kasih buat semua yang menyokong dan memberi ruang untuk saya bertapak semula sebagai artis solo sekarang. Banyak perancangan saya untuk masa depan dan saya tidak sabar berkongsi karya baru,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan masa depan, Hael juga sangat gembira apabila dapat bekerjasama dengan individu berpengalamana dalam industri muzik tempatan yang turut menghargai bakatnya menulis lagu seperti Omar K dan Ezra Kong.

“Mereka memberi sinar baru buat saya untuk meneruskan impian menjadi pencipta lagu. Jika sebelum ini saya cuma lakukannya secara senyap, kini tidak lagi selepas bertemu mereka.

“Memang masih banyak perlu saya pelajari, tetapi ia menjadi lebih mudah apabila mendapat tunjuk ajar serta nasihat daripada mereka. Yang penting, mereka sentiasa percaya dengan kemampuan saya dan beri sokongan penuh,” katanya.-Hmetro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...