loading...

Pemuda Umno Tuntut Kok Minta Maaf Pada Keluarga Pengantin

Anggota Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok digesa memohon maaf kerana menganjurkan demonstrasi di Taman Desa, Kuala Lumpur minggu lalu, yang didakwa mengganggu majlis perkahwinan berhampiran.

Pihak pengantin berkata kekecohan berlaku selepas peserta protes enggan berganjak, walaupun majlis perkahwinan itu sedang berlangsung.

“Sebagai penduduk tempatan, saya mendesak Teresa Kok memohon ampun dan maaf kepada keluarga pengantin kerana sikap biadap dan kurang ajar beliau serta penyokong DAP yang tidak faham erti sensitiviti ini.

“Tidak terlalu sukar sebagai seorang rakyat Malaysia untuk memahami batasan dan menghormati adab, amalan serta budaya sesebuah bangsa.

“Teresa Kok sebagai wakil rakyat seharusnya berjiwa besar dan memohon maaf kepada keluarga tersebut dan berikrar tidak akan membuat kacau di majlis keraian atau amalan budaya orang lain,” kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Kok berkata beliau tidak berada di sana untuk mengganggu majlis perkahwinan itu.

“Kenapa semua orang tuduh saya ganggu majlis perkahwinan, saya bukan gila, saya tahu apa saya buat,” kata dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

Protes berkenaan dianjurkan di luar pusat komuniti Seputeh bagi membantah pembangunan Skim Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) di Taman Desa.

Berbalas jeritan

Dalam rakaman kejadian yang tersebar di internet, peserta protes dilihat membawa sepanduk bagi membantah pembangunan di kawasan itu.

Bagaimanapun, seorang wanita yang mendakwa ibu kepada pengantin perempuan, meminta mereka berhenti kerana majlis perkahwinan sedang berlangsung di kawasan berhampiran.

Dalam nada tinggi, wanita itu meminta mereka mengadakan protes keesokan hari dan menghormati majlis perkahwinan tersebut.

Wanita itu juga berkata adalah memalukan bagi tuan rumah kerana tetamu bertanya mengenai demonstrasi berkenaan.

Seorang peserta protes, bagaimanapun memberitahu bahawa kumpulan itu telah memanggil pihak media untuk membuat liputan dan tidak dapat menangguhkan acara tersebut.

Peserta itu juga memberi jaminan mereka tidak berniat menimbulkan masalah.

Mengganggu tetamu majlis

Dalam video lain, seorang wanita dipercayai ibu pengantin perempuan, berkata demonstrasi itu menyebabkan tetamu perkahwinan merasa terganggu.

Salinan video itu tersebar luas di internet dengan tajuk mendakwa Teresa Kok biadap dan tak menghormat majlis perkahwinan orang Melayu.

Sementara itu, Razlan berkata sebagai anggota parlimen, Kok mempunyai kuasa untuk membangkitkan isu itu dalam sesi parlimen.

“Namun, tidak pelik sekiranya sikap anti pembangunan dan anti orang melayu terus dimainkan oleh beliau bagi mendapat publisiti murahan daripada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau juga mendakwa ibu kepada pengantin merayu dan meminta agar DAP tidak melakukan demontrasi di hadapan lokasi majlis berkenaan, namun tidak diendahkan.

“Jika ada orang seperti Teresa Kok dan DAP, rakyat Malaysia akan terus dibelenggu oleh sikap perkauman dan chauvinis mereka ini,” katanya.-Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...