loading...

Pasukan Petugas Khas Sasar 3 Bulan Siasat BNM

PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam aktiviti spekulasi mata wang asing pada tahun 1990-an menyasarkan hasil siasatan dapat dikemukakan kepada Kabinet dalam tempoh tiga bulan.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, siasatan pihaknya akan merangkumi sejauh mana terdapat tindakan menyembunyikan maklumat kerugian tersebut serta mengkaji kalau ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya di Parlimen.

“Terma rujukan pasukan petugas khas ini termasuk mengemukakan syor-syor kepada kerajaan mengenai tindakan susulan termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan di semalam.

Menurut Mohd. Sidek, pasukan berkenaan terdiri daripada enam ahli termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Turut menganggotainya ada­lah Pengerusi Suruhanjaya Se­kuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon dan Rakan Kongsi Guaman Jahaberdeen & Co, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail pula bertindak sebagai setiausaha dan ketua sekretariat pasukan petugas khas berkenaan.

Mohd. Sidek memberitahu, semua aspek kes tersebut akan diteliti termasuk peranan dan fungsi Bank Negara dan mana-mana badan korporat atau individu-individu dalam urus niaga spekulasi mata wang asing serta perkara berkaitan kelulusan dan pengurusan aktiviti itu.

Katanya, pasukannya juga akan meneliti pematuhan undang-undang, peraturan serta garis panduan berkaitan peranan Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing serta sama ada terdapat apa-apa tindakan menutup skala sebenar kerugian BNM dan individu-individu terlibat.

Beliau memberitahu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat digalakkan menyalurkan kepada pihaknya melalui e-mel taskforcefx@treasury.gov.my itu atau talian telefon 03-80008000.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Sekretariat Pasukan Petugas Khas yang beralamat di Aras 5, Blok Tengah, Kementerian Kewangan, No. 5, Persiaran Perdana, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62952, Putrajaya. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...