loading...

Nazri Tetap 25 Mac Debat Dengan Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Aziz hari ini mengotakan janjinya dengan menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh untuk berdebat dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamad.

Nazri berkata, kini terpulang kepada Dr Mahathir sama ada mahu meneruskan atau menangguhkan debat tersebut.

“Perkembangan terbaru adalah, dia (Dr Mahathir) minta debat di Padang Rengas, saya sudah sediakan dewan, pada 25 Mac, jam 3 petang di Milineum Hall di Padang Rengas.

“Saya akan hormatinya, tidak ada masalah, saya cuma mahu berdebat. Itu juga kerana dia mencabar saya,” kata Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir dan Nazri sering berbalas kenyataan akhir-akhir ini dan kedua-duanya kelihatan saling mencabar.

Nazri yang pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan usahawan dalam kabinet Dr Mahathir mencabar bekas perdana menteri itu bertanding pada pilihan raya umum akan datang di Padang Rengas.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan beliau tidak berhajat kembali bertanding dalam pilihan raya, sebaliknya mencadangkan agar kedua-dua mereka berdebat “pelbagai isu” termasuk skandal 1MDB dan BMF.

Ketika 1MDB dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak, skandal kewangan BMF pada 1983 pula dihubungkan dengan Dr Mahathir yang ketika itu menjadi perdana menteri.

Isu 1MDB menjadi semakin panas apabila Jabatan Keadilan (DOJ) AS mengemukakan saman sivil bagi merampas beberapa aset yang didakwa diperoleh melalui dana kerajaan.

Isu BMF pula muncul kembali selepas dokumen Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengaitkan kerajaan Dr Mahathir dengan skandal berkenaan yang menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion. – BeritaDaily



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...