loading...

Nazim Buka Mulut

ENAM bulan sesudah bernikah merupakan fasa yang membahagiakan buat pasangan ini. Dalam tempoh tersebut sudah pastinya mereka menikmati hari-hari mendatang dengan seribu satu pengalaman baharu setelah bergelar suami-isteri. Namun begitu, entah di mana silapnya nama Nazim Othman dan Bella Daly panas beberapa minggu lalu.

Pelbagai spekulasi timbul saat memperkatakan tentang rumah tangga mereka termasuklah isu ‘kehilangan’ gambar Nazim daripada akaun Instagram suri hatinya. Tentu sahaja perkara tersebut benar-benar mencetuskan kegemparan tatkala usia rumah tangga masih terlalu hijau.

Tidak menjawab sebarang provokasi yang dilemparkan oleh kebanyakan pihak, pasangan ini tetap tenang dan menolak sedikit demi sedikit persepsi negatif tersebut. Kepada Pancaindera, Nazim berkongsi pelbagai kisah menarik.
Kecoh satu Malaysia dengan cerita rumah tangga bermasalah? Boleh kongsi apa sebenarnya yang berlaku kepada kalian berdua? Apa pula reaksi bila melihat orang luar lebih mengetahui kisah ‘dalam kain’ Nazim dan Bella?

Tiada permasalahan yang serius antara kami. Syukurlah, kehidupan kami masih berjalan lancar. Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi suami isteri. Itu merupakan asam garam dalam setiap perhubungan. Untuk pengetahuan semua, kami baik-baik sahaja, rumahtangga kami tidak berantakan seperti mana yang digembar-gem­burkan. Apapun, saya dan Bella sangat berterima kasih atas sokongan dan segala doa yang baik untuk kami selama ini. Tentang pandangan orang luar , saya tidak perlu komen apa-apa. Bagi saya, adalah penting untuk menjaga privasi kehidupan sendiri. Cukuplah saya berkongsi di permukaan sahaja apabila bercakap tentang kisah peribadi

Bagaimana dengan perkembangan terkini? Masih ada tawaran besar yang datang? Tidak takut bersaing dengan pelakon baharu yang lebih menonjol?

SEBETULNYA saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang ini masih ada. Banyak tawaran yang datang termasuklah membintangi drama bersiri 30 episod dan beberapa telefilem sedikit masa lagi. Bagi saya ini adalah tentang kepercayaan orang terhadap lakonan saya sejak dahulu.

Memang benar, orang baharu muncul setiap masa. Sebagai pelakon yang sudah berpengalaman, saya melihat perkara berkenaan dari sudut yang berbeza. Orang baharu perlu diberikan peluang dan mereka juga adalah generasi pelapis masa hadapan.

Tak perlu takut atau melayan mereka dengan sebelah mata. Saya dahulu pernah berhadapan dengan situasi yang sama dan kenapa perlu risau dengan persaingan? Setiap orang ada rezeki asalkan mereka mempunyai minat dan berusaha keras untuk menjadi yang terbaik.

Pelakon hari ini patut beruntung kerana situasi sekarang sudah jauh berubah berbanding dahulu. Kehadiran mereka diterima baik dan tak perlu berhadapan dengan situasi tidak diterima. Zaman dah berubah dan sikap kita juga berubah kepada yang lebih baik.

Apabila jurang perbezaan sudah dihapuskan sedikit demi sedikit, tentu sahaja masing-masing boleh bekerja dengan baik. Jadi tidak ada alasan untuk mereka tidak memberikan yang terbaik kepada setiap pekerjaan yang diterima.

Apa yang paling penting berusaha keras dan buatlah sedikit pengorbanan. Kehadiran kita bukan sekadar mahu mencari populariti dan hidup glamor. Banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk menjadi yang terbaik kepada seluruh industri seni tanah air.

Khabarnya sudah merakamkan lagu dan mahu bergelar penyanyi tidak lama lagi? Tak serik ke memandangkan sebelum ini sudah pernah membuat cubaan juga.

BIDANG nyanyian memang sudah menjadi minat saya sejak dahulu. Tak pernah sekalipun saya matikan niat untuk merakamkan lagu dan bergelar penyanyi. Walaupun ada pandangan orang luar yang kurang senang dengan hal ini, itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus mengejar cita-cita yang satu itu.

Sebenarnya sebaik sahaja menamatkan pertandingan Gempak Superstar tahun lalu, keberanian untuk menyanyi semakin tinggi. Waktu itu ada dua syarikat muzik yang datang memberikan tawaran untuk merakamkan lagu. Tapi saya tak dapat terima memandangkan terikat dengan penggambaran Lara Aishah ketika itu.

Tapi pada penghujung tahun lalu, Raksasa Record datang memberikan tawaran. Saya anggap ini peluang keemasan memandangkan tertarik dengan beberapa perancangan yang mereka atur untuk kerjaya seni saya. Jadi saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk saya mengembangkan bakat.

Buat masa ini saya sudah merakamkan lagu Kerana Cinta yang berentak balada. Jika tidak ada aral melintang lagu tersebut akan dilancarkan hujung bulan nanti.

Saya tak pernah peduli tentang kata-kata orang terhadap keinginan untuk menyanyi. Selagi ada minat dan ada usaha untuk melentur minat tersebut menjadi satu kebolehan, mengapa tidak? Mengapa perlu tunduk dengan kutukan orang yang kurang senang melihat kita berjaya?

Dahulu saya pernah berhadapan dengan situasi yang sama masa mula-mula mahu berlakon. Orang kata saya tak boleh berlakon dan sebagainya. Kalau saya tunduk dengan kata-kata negatif tersebut, mungkin sekarang saya tak lagi berada di sini.

Jadi selagi ada minat, asah ia. Jangan sesekali mengalah dengan keadaan. Selagi niat kita baik, teruskan sahaja usaha.

Bagaimana pandangan terhadap kehidupan terkini?

BUAT masa ini saya gembira dengan kehidupan yang dilalui termasuklah mempunyai teman hidup yang memahami diri ini. Sama sahaja seperti orang lain yang melakukan banyak aktiviti menarik bersama orang yang mereka saya. Sebetulnya saya beruntung kerana berkongsi banyak persamaan dengan Bella. Jadi banyak perkara boleh dilakukan bersama.

Lagi satu, saya bersyukur kerana penyakit lama (ketumbuhan di bahagian otak) sudah pulih sepenuhnya. Hampir dua tahun berlalu membuatkan saya berhati-hati dalam setiap tindakan. Bukan trauma, tapi saya seboleh-bolehnya tak mahu lagi berhadap dengan perkara berkenaan lagi.

Dahulu saya fikir macam-macam bila nak melakukan pembedahan tersebut. Saya anggap ini wake up call untuk seluruh kehidupan. Alhamdulillah, Allah perkenankan semua doa saya. Jadi bila sudah bebas daripada penyakit itu, tidak ada sebab untuk saya tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan.

Jika ada kelapangan apa yang dilakukan?

KEBANYAKAN masa saya habiskan di rumah sahaja. Kami suka mengembara, suka kopi dan suka kucing. Jadi bila berada di rumah banyak perkara yang boleh dilakukan bersama-sama. Selalunya banyak masa dihabiskan di rumah sahaja berbanding di luar. Kami keluar kalau masing-masing ada tuntutan pekerjaan sahaja.

Apa sekalipun terjadi, saya akan cari masa untuk membaca buku memandangkan ini sahaja cara untuk saya menambah ilmu. Selain itu saya juga akan bermain dengan kucing peliharaan yang sememangnya menjadi buah hati kami di rumah.

Sejak sebulan yang lalu juga saya sudah kembali ke gim. Hampir dua tahun juga saya tak melakukan apa-apa rutin gim selepas pembedahan dahulu. Bila sudah yakin pulih sepenuhnya, saya rasa ini masa yang sesuai untuk kembali. Saya juga ada mengupah seorang jurulatih peribadi bagi membantu saya membina semula otot yang sudah hilang.-Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...