loading...

Malaysia Sambut Baik Pelaburan Pengilangan Pintar Jerman

KUALA LUMPUR – Menyedari pentingnya perkilangan pintar atau teknologi Industri 4.0, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia kini agresif memanfaatkan kehadiran pelabur Jerman di Malaysia yang sudahpun mempunyai asas yang kukuh dan keupayaan dalam bidang terbabit.

Jerman mempelopori konsep Industri 4.0 di Eropah, dan menetapkan standard baharu, kata Menteri berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sesi dialog bersama ahli Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC), yang berlangsung pada Isnin.

“Pelaburan Jerman dalam sektor pembuatan di negara ini kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik, produk petroleum termasuk petrokimia, bahan kimia serta perkakasan saintifik dan pengukuran,” kata Mustapa dalam satu kenyataan.

Kemasukan berterusan pelaburan berkualiti dari Jerman ke Malaysia, termasuk yang melibatkan teknologi terkini dan aktiviti bernilai tambah yang tinggi, mencerminkan daya saing Malaysia dalam perniagaan global.
“Kami menghargai kepercayaan dan keyakinan syarikat-syarikat ini dalam persekitaran perniagaan kita walaupun dalam tempoh yang mencabar dalam ekonomi global ketika ini,” kata Mustapa.

Walaupun syarikat multinasional Jerman sudah mantap di negara ini, masih banyak peluang perniagaan yang tersedia untuk syarikat dari negara itu dalam pelbagai sektor, katanya.

Sebagai contoh, penggunaan pembuatan bahan tambahan yang kini digalakkan, terutama bagi automotif, aeroangkasa, barangan elektronik pengguna dan peranti perubatan/pergigian.

Peluang juga terbuka dalam perkhidmatan dalam pembuatan seperti perkhidmatan data perindustrian, perkhidmatan berasaskan awan dan perkhidmatan keselamatan siber.

“Kami juga menggalakkan lebih ramai penggiat tempatan untuk bekerjasama dengan pembekal teknologi dan pakar Jerman yang dapat menyumbang kepada pembangunan industri tempatan ke arah ekosistem mampan di negara ini,” kata Mustapa.

Untuk 2016, MIDA meluluskan 21 projek pembuatan dengan penyertaan Jerman bernilai RM2.65 bilion.

Pelaburan ini dijangka menyediakan kira-kira 3,250 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata selari dengan usaha negara untuk menerajui penggunaan pembuatan pintar dan industri 4.0, MIDA berjaya membangunkan program latihan amali, ‘Jurutera Malaysia – Buatan Jerman’.

Inisiatif ini memanfaatkan jumlah besar penuntut Malaysia di Jerman, dan bermatlamat untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada mahasiswa dalam kerjaya yang berkaitan dengan bidang teknologi maju.

Setakat ini, 18 syarikat Jerman seperti B.Braun, SGL Carbon, BMW, Infineon, Muehlbauer dan Schmidt & Clemens mengambil bahagian dalam program ini dengan menawarkan latihan tahunan untuk penuntut Malaysia dalam kemudahan pengeluaran mereka di seluruh Jerman.- Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...