loading...

Jepun Bantu Salur Data Peribadi Kim Jong-nam Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR – Jepun dilapor menyediakan maklumat cap jari dan beberapa data lain kepada pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

Agensi berita Kyodo yang memetik sumber kerajaan Jepun berkata, maklumat cap jari berkenaan diperoleh oleh jabatan imigresen negara tersebut apabila Jong-nam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 2001 ketika dia cuba memasuki Jepun dengan menggunakan pasport palsu.

Ketika itu, Jong-nam memberitahu pihak berkuasa Jepun bahawa dia mahu mengunjungi taman teman Disneyland Tokyo.

Sumber berkenaan menjelaskan, pihak berkuasa Jepun turut menawarkan data berkaitan karakter fizikal dan gambar Jong-nam kepada Malaysia.

Maklumat tersebut dipercayai membantu penyiasat Malaysia untuk mengesahkan identiti mangsa sebagai Jong-nam selepas dia dikenali sebagai Kang Chol menerusi maklumat pada pasportnya.

Kerjasama antara kedua-dua negara itu didedahkan selepas waris atau ahli keluarga Jong-nam tidak tampil untuk menyediakan DNA bagi proses pengecaman.

Kyodo melaporkan, beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) turut dipercayai terlibat dalam siasatan berkenaan atau membantu melindungi ahli keluarga Jong-nam susulan kebimbangan keselamatan mereka diancam oleh Korea Utara.

AS dan sekutu, Korea Selatan menuduh Pyongyang mendalangi kes pembunuhan Jong-nam yang hidup dalam buangan tetapi Korea Utara menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkan mangsa mati akibat serangan jantung.

Namun laporan bedah siasat yang dilaksanakan pakar dari Malaysia mendapati Jong-nam maut akibat terdedah kepada racun berbahaya, agen saraf VX yang disenaraikan sebagai senjata pemusnah yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – mstar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...