loading...

Ibu Rayu Anak-Anak Tak Digantung Mati

Ibu kepada adik-beradik Batumalai merayu kepada kerajaan untuk menyelamatkan dua orang anaknya, yang dijadualkan akan digantung hingga mati, pagi esok.

Dengan air mata yang berlindangan tanpa putus, balu berusia 66 tahun itu berkata, kerajaan seharusnya mengubah mereka menjadi rakyat yang baik.

“Jika anak-anak saya telah melakukan sesuatu yang salah, kerajaan seharusnya mengubah mereka, bawa mereka ke jalan yang benar, jangan menggantung mereka.

“Saya berharap kerajaan akan memaafkan anak-anak saya, supaya mereka boleh pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita melalui Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto yang bertindak sebagai penterjemah.

Beliau adalah antara orang ramai yang hadir dan menyalakan lilin di luar kompleks Penjara Kajang untuk kedua-dua adik-beradik itu Rames dan Suthar Batumalai, yang akan digantung esok.

Kumpulan itu mula berhimpun sekitar jam 8 malam tadi sambil membawa sepanduk yang menentang hukuman mati. Setakat jam 10 malam tadi, lebih 60 orang berkumpul.
Kedua-dua beradik itu yang masing-masing berusia 45 dan 40 tahun itu dijatuhi hukuman mati pada April 2010, atas kesalahan membunuh pada Februari 2006. Kedua-dua mereka mendakwa diri mereka tidak bersalah.

Hukuman gantung ke atas Rames dan Suthar ditangguhkan pada 24 Feb, selepas ibu mereka merayu kepda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya hukuman bunuh itu digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup (20 tahun).-Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...