loading...

Video: Siti Aishah Sambut Hari Jadi Sebelum Jong Nam Dibunuh

KUALA LUMPUR – Suspek wanita warga Indonesia dalam pembunuhan Kim Jong-nam dikatakan sempat menyambut hari lahirnya sehari sebelum dia melakukan serangan ke atas abang pemimpin Korea Utara itu pada 13 Februari lalu.

 

Menerusi dua video dimuat naik akhbar China Press di laman YouTube semalam, menunjukkan, Siti Aisyah, 25, bersama beberapa rakan menyambut hari jadinya di sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.

 

Sumber memberitahu, Siti Aisyah yang dilahirkan pada 11 Februari 1992 dipercayai menyambut hari lahirnya pada malam sebelum kejadian berdasarkan tarikh pada video berkenaan.

 

Dalam video pertama berdurasi 52 saat, kedengaran suara seorang lelaki meminta Siti Aisyah berdiri sebelum kelihatan tangan seseorang memegang satu piring bersama sepotong kek dengan sebatang lilin di atasnya.

 

Berdasarkan audio dalam video berkenaan, seorang lelaki mengumumkan yang ia sambutan hari lahir suspek dan meminta orang ramai yang ada di situ menyanyikan lagu selamat hari jadi untuknya.

 

Video itu berakhir dengan Siti Aisyah yang memakai baju warna merah dan berseluar denim gelap meniup lilin pada kek berkenaan.

 

Dalam video kedua pula, suspek dipercayai merakam sendiri video berkenaan di satu lokasi berasingan namun pada hari yang sama berdasarkan pakaian yang dipakainya.

 

Menerusi video berdurasi satu minit 40 saat itu, suspek kelihatan duduk bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Kak Lin dan dirujuk sebagai seorang kenalan lamanya sejak enam tahun lalu dan sudah lima bulan mereka tidak bertemu.

 

“Wah enam tahun (berkawan), dari Kak Lin tak kahwin lagi… sampai sekarang Kak Lin sudah mengandung,” kata Siti Aisyah yang turut dilihat mengusap perut Kak Lin yang wajahnya dikaburkan dalam video itu.

 

Kak Lin turut sempat mengusik suspek mengatakan dia kelihatan seperti artis Uqasha Senrose menyebabkan Siti Aisyah ketawa besar sebelum menamatkan rakaman beberapa saat kemudian.

 

Kedua-dua video berkenaan dikatakan dimuat naik dalam laman Facebook suspek dan ia hanya boleh ditonton oleh mereka yang ada dalam senarai rakannya sahaja.

 

Siti Aisyah ditahan pada 16 Februari susulan penahanan suspek wanita pertama warga Vietnam berusia 29 tahun dikenali sebagai Doan Thi Huong di klia2, sehari selepas kejadian.

 

Kedua-dua suspek bertanggungjawab menyapu bahan kimia dikenali pasti sebagai Agen Saraf VX ke muka Jong-nam menyebabkan mangsa meninggal dunia.

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...