loading...

Suspek Disyaki Tipu Kuota Perumahan Bumiputera Sejak 2013

JOHOR BAHRU – Semua suspek yang ditahan berkaitan rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor semalam, dipercayai terbabit dalam penipuan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera sejak tahun 2013.

 

Sumber berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penipuan penukaran status itu dipercayai membabitkan beberapa pemaju di negeri ini sehingga menyebabkan mereka yang layak untuk mendapatkan rumah Bumiputera tidak mampu untuk membeli rumah.

 

Katanya, penukaran status itu dilakukan kerana rumah berstatuskan Bumiputera apabila ditukar kepada bukan Bumiputera menjadikan harganya meningkat beberapa kali ganda daripada harga asal.

 

Sumber berkata, modus operandi pemaju terbabit dijalankan dengan menyembunyikan hampir 30 peratus kuota yang disediakan kepada pembeli Bumiputera dengan mendaftarkan nama pekerja mereka yang mempunyai status Bumiputera.

 

“Tindakan itu akan menguntungkan pihak pemaju dan mereka yang terbabit dalam aktiviti itu, tetapi menutup peluang golongan yang ingin memiliki rumah sendiri, ” katanya.

 

Selain itu, katanya, penukaran status yang diluluskan dan dilaksanakan bukan sahaja membabitkan status Bumiputera, malah masyarakat yang berpendapatan sederhana juga tidak mampu memiliki rumah sendiri.

 

Difahamkan pemaju akan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menukar rumah berstatuskan Bumiputera kepada bukan Bumiputera dengan alasan rumah itu tidak berjaya dijual, tetapi apabila ditanya pembeli pemaju akan memberi alasan rumah berstatuskan Bumiputera sudah habis dijual.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kewujudan penipuan dalam penukaran status Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

 

Beliau berkata, SPRM masih dalam proses menggeledah pejabat suspek untuk mendapatkan dokumen yang dapat membantu pasukan siasatan mengumpul lebih banyak maklumat berhubung penipuan itu.

 

“Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap berhubung siasatan kes ini,” katanya. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...