loading...

Selangor Bawah Pentadbiran Azmin Hadapi Ketirisan, Kata Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR — Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa pentadbiran Selangor mengalami ketirisan bawah kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Bekas menteri besar Selangor itu mengkritik penggantinya tidak meneruskan amalan audit mencegah ketirisan sepertinya, lapor Mingguan Malaysia.

 

“Sebab itu saya sangat menekankan kepada konsep audit dalam pentadbiran saya,” katanya, yang dipecat daripada PKR susulan krisis negeri itu pada 2014.

 

“Saya dapati kerajaan Selangor sekarang sangat terdedah kepada ketirisan.”

 

Khalid, wakil rakyat Pelabuhan Klang, turut menyifatkan pentadbiran Azmin, musuh politiknya dalam PKR, tidak tertib menangani ketirisan.

 

“Saya dapati beberapa ketirisan sudah berlaku kalau diambil kira daripada jumlah kos yang terpaksa dibayar,” katanya dalam satu wawancara.

 

Beliau bagaimanapun tidak merujuk khusus kes-kes atau projek-projek yang didakwa mengalami ketirisan.

 

Bekas setiausaha agung PKR itu kelihatan tidak yakin Selangor dapat dipegang gabungan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

 

“Saya percaya PKR belum tentu dapat memimpin Selangor selepas pilihan raya umum ke-14 jika berlaku pertembungan tiga penjuru,” katanya.

 

“Mohamed Azmin mungkin boleh memenangi kerusi ditandinginya tetapi untuk membentuk kerajaan negeri, itu soal lain.”

 

Mengulas tinjauan agensi kerajaan negeri Institut Darul Ehsan (IDE) yang menunjukkan Azmin makin popular, Khalid berkata ia ibarat solekan sahaja.

 

“Bagi saya [tinjauan] itu cuma untuk hubungan awam (PR) sebab kalau gincu itu bagus, hanya nampak lawa jika bibir si pemakainya cantik,” katanya.

 

“Pada saya kajian sebegini hanyalah nak tunjukkan kita cantik. Tunjukkan cantik ini tidak akan menyelesai masalah sebab cantik itu pun melalui proses masa.” – MalayMail



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...