Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang membuat kenyataan pertamanya sejak mengesahkan diri untuk bertanding dalam pemilihan penggal 2017-2021 pada 25 Mac ini turut menjelaskan, beliau memutuskan untuk mencabar jawatan Presiden kerana mahu berkhidmat untuk rakyat.

 

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai rancangan sebenar, sebaliknya lebih selesa berteka-teki.

“Saya rasa belum masa sesuai untuk bercakap mengenai keinginan atau visi saya. Namun saya akan berkongsi dengan rakyat tidak lama lagi.

 

“Tidak ada gunanya memberitahu orang sekarang, dan kemudian saya yang rugi kerana saya tahu banyak negeri yang akan menyokong Tan Sri Annuar Musa dengan arahan Menteri Belia dan Sukan.

 

“Bagaimanapun, saya seorang yang suka mengambil tindakan kerana ia lebih berkesan daripada sekadar berkata-kata. Saya seorang yang akan melaksanakan apa sahaja yang boleh untuk mempertingkatkan organisasi.

 

“Seperti yang saya katakan bahawa anda tidak boleh menyeberangi laut hanya dengan berdiri di tepian dan merenung air. Anda perlu merenanginya.

 

“Biar saya beritahu anda perkara ini, kegagalan tidak akan pernah mengatasi kita kerana keinginan kita untuk berjaya sangat kuat,” katanya menerusi laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers hari ini.

 

Sementara itu, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan Annuar enggan mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan itu manakala usaha Utusan Malaysia mendapatkan reaksi daripada Khairy gagal.

 

“Saya enggan mengulas,” jawab Annuar ringkas dalam menerusi aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia.

 

Dalam masa sama, TMJ memberitahu, amanah ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar adalah pendorong beliau bertanding Presiden FAM.

 

“Saya melakukannya kerana rakyat mahu saya datang dan memperbaiki beberapa perkara. Selain itu, Ayahanda juga mahu saya terima amanah dan ambil kesempatan ini untuk membuat perubahan.

 

“Inilah satu-satunya sebab mengapa saya ingin melakukannya. Saya tidak membuat keputusan untuk melakukannya kerana saya mahu, tetapi kerana takut apa akan berlaku dalam bola sepak jika ia jatuh ke tangan orang yang salah,” katanya.-Utusan