loading...

KPDNKK Mula Periksa Perlabelan Berus Bulu Babi Minggu Depan

KOTA TINGGI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memulakan operasi minggu depan bagi memeriksa premis yang gagal mengasing dan melabel produk berus diperbuat daripada bulu babi.

 

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya sudah memberi tempoh sebulan bermula 9 Februari lalu kepada pengusaha untuk berbuat demikian dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pengusaha yang berdegil.

 

“Isu halal ini akan selesai dalam tempoh sebulan sejak kita umumkan perkara ini. Jadi minggu depan, kita akan jalankan operasi untuk memastikan mereka mematuhi peraturan ini.

 

“Mengenai tindakan, kita ada akta, jadi kementerian akan mengambil tindakan yang mengikut akta. Kerajaan mahu sentiasa lihat rakyat hidup dalam keadaan selesa, tidak takut dan berada dalam keadaan curiga,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan pasar raya Point Fair Price (PFP) dan van bergerak PFP di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Hamzah berkata kerajaan akan memperbanyakkan Kedai Harga Patut di negara ini yang menjadi antara usaha meringankan beban rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

 

Katanya, ia selaras dengan sasaran kementerian untuk memberikan logo Kedai Harga Patut kepada kira-kira 3,000 perniagaan merangkumi makanan dan peruncitan tahun ini.

 

Beliau berkata, ketika ini kementerian sedang mengenal pasti kedai yang mengekalkan harga patut yang konsisten sebelum diberikan logo berkenaan.

 

“Kita dah ada harga purata yang ditetapkan di seluruh negara. Kita tidak mahu sekejap harga naik sekejap turun tetapi kita hendak harga berkenaan konsisten,” katanya.

 

Katanya, kini sebanyak 3,000 kedai diberikan logo Kedai Harga Patut tahun lalu. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...