loading...

Korea Selatan Dakwa Kementerian Korea Utara Terlibat Rancang Pembunuhan Kim Jong Nam

SEOUL – Perisik Korea Selatan percaya suspek yang dikehendaki dalam pembunuhan Kim Jong Nam di Malaysia, membabitkan pegawai yang bertugas untuk Kementerian Luar dan Keselamatan Dalam Negeri Korea Utara, lapor AFP.

 

Kim Jong Nam dipercayai dibunuh awal bulan ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) oleh pembunuh upahan menggunakan agen saraf VX, iaitu bahan kimia yang mampu membawa maut dalam beberapa minit serta disenaraikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah.

 

Korea Selatan amat sensitif dengan sebarang perkembangan membabitkan negara jirannya yang memiliki senjata nuklear itu, dan sejak kes pembunuhan tersebut tersebar, pegawai agensi perisikan Korea Selatan tidak putus-putus memberi maklumat kepada pihak pentadbiran Seoul.

 

Sehingga kini, Korea Utara belum mengesahkan sama ada mangsa merupakan Kim Jong Nam, namun pada masa sama Korea Selatan dan Amerika Syarikat percaya Jong Nam, yang sering mengkritik kuasa keluarganya, dibunuh oleh orang upahan Korea Utara.

 

Dirancang pihak kementerian

“Daripada lapan suspek kes ini, empat adalah daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan dua lagi yang menjalankan tugas adalah daripada Kementerian Luar.

 

“Sebab itulah kes ini adalah tindakan keganasan yang diketuai pemerintah, kerana ia dirancang oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Luar,” ujar Lee Cheol Woo, salah seorang anggota Parlimen yang menerima maklumat daripada agensi perisikan.

 

Polis Malaysia telah mengenal pasti sejumlah lapan warga Korea Utara sebagai suspek dan dikehendaki untuk disoal siasat. Itu termasuk seorang pegawai kedutaan Korea Utara yang dipercayai masih di Kuala Lumpur.

 

Menteri Kesihatan Malaysia S. Subramaniam pada Ahad berkata, Kim Jong Nam meninggal dunia dalam masa 15 hingga 20 minit selepas diserang oleh dua wanita yang dipercayai telah menyapu agen saraf VX ke wajahnya.

 

Jong Nam berada di KLIA2 untuk menaiki pesawat ke Macau, iaitu wilayah pentadbiran khas China yang menjadi tempatnya mendapat perlindungan negara besar tersebut.

 

Dua suspek wanita itu kini dalam tahanan polis dan setakat ini mengakui, aksi yang mereka lakukan ke atas Jong Nam tersebut adalah kerana diperdaya dengan menyangka ia sebahagian daripada program televisyen.

 

Tiga kumpulan

Seorang lagi anggota Parlimen Korea Selatan, Kim Byung-kee, berkata pihak Korea Utara dalam kes berkenaan beroperasi dalam tiga kumpulan.
Dua kumpulan, masing-masing disertai pegawai daripada kedua-dua kementerian Korea Utara itu, bertanggungjawab mengupah wanita Indonesia dan Vietnam, seterusnya membawa mereka ke Malaysia untuk melaksanakan arahan. Kumpulan ketiga pula bertindak sebagai pasukan sokongan.

 

Tambahnya, perisik Korea Selatan berkata pegawai pejabat kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Hyon Kwang Song, mempunyai kaitan dengan kementerian dalam negeri dan adalah sebahagian daripada ‘kumpulan sokongan’.

 

Polis Malaysia berkata akan mengeluarkan waran terhadap diplomat itu jika dia tidak memberi kerjasama, namun langkah itu masih belum pasti memandangkan pegawai itu mempunyai status kekebalan diplomatik.

 

Seorang warga Korea Utara yang kini dalam tahanan polis, Ri Jong Chol, juga dipercayai sebahagian daripada kumpulan sokongan, kata Kim Byung-kee.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...