loading...

Kim Jong-nam Maut Dalam Masa 20 Minit Selepas Diracun – Dr Subra

KUALA LUMPUR – Hanya dalam tempoh 20 minit saja, Kim Jong-nam maut selepas diracun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

 

Memetik laporan The Star, Dr Subramaniam berkata, jumlah agen saraf VX yang diberikan kepada Jong-nam mungkin lebih daripada jumlah 10 miligram yang boleh membawa maut.

 

“Hanya 10mg diperlukan untuk meresap ke dalam sistem untuk membawa maut, jadi saya menganggap bahawa jumlah yang dikenakan ke atas dia adalah lebih daripada itu dan ia merupakan bahan kimia yang mudah diserap ke dalam kulit,” kata Dr Subramaniam kepada pemberita semalam.

 

Dr Subramaniam berkata, kakitangan perubatan yang merawat Jong-nam akan dipantau untuk tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

 

Tambahnya, setakat ini tiada seorang pun daripada mereka telah menunjukkan sebarang tanda terkena kesan VX, senjata kimia yang diharamkan di negara ini.

 

“Kita perlu memantau mereka untuk satu tempoh kerana tanda-tanda boleh dikesan kemudian apabila terdedah kepada jumlah yang kecil,” katanya.

 

Menurut Dr Subramaniam, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah supaya pemeriksaan kesihatan ke atas kakitangan dilakukan sejak hari pertama mereka merawat Jong-nam.

 

“Kita akan melakukan pemeriksaan susulan untuk melihat sama ada terdapat tindak balas yang lambat,” kata Dr Subramaniam. – AntaraPos



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...