loading...

Trump Bakal Wujud Zon Selamat Di Syria

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata kelmarin bahawa beliau akan mewujudkan zon selamat di Syria untuk pelarian yang melarikan diri daripada perang saudara di negara itu.

 

Trump berkata, Eropah melakukan kesilapan besar kerana menerima kemasukan berjuta-juta pelarian dari Syria dan negara Asia Barat lain yang bermasalah.

 

“Saya tidak mahu perkara ini berlaku di AS,” katanya dalam wawancara bersama saluran berita ABC News.

 

“Saya pasti akan mewujudkan zon selamat di Syria untuk rakyatnya,” tambah Trump tanpa menjelas lanjut.

 

Berpandukan sekeping dokumen yang dilihat agensi berita Reuters kelmarin, Trump dijangka mengarahkan Pentagon dan Jabatan Negara dalam masa beberapa hari lagi untuk me­rangka rancangan mendirikan zon selamat, langkah yang akan meningkatkan campur tangan tentera AS dalam perang saudara di Syria.

 

Draf perintah eksekutif itu yang menunggu tandatangan Trump, memba­yangkan pentadbirannya akan melakukan perkara yang cuba dielakkan bekas Pre­siden AS, Barack Obama kerana bimbang boleh menjerumuskan AS dalam kon­flik berdarah dan pertempuran dengan jet pejuang Rusia di ruang udara Syria.

 

“Setiausaha Negara bersama Setiausaha Pertahanan diminta dalam tempoh 90 hari daripada tarikh perintah ini untuk menyediakan rancangan penyediaan zon selamat di Syria dan rantau sekitarnya di mana rakyat Syria yang tiada tempat tinggal boleh menunggu penempatan kekal termasuk dihantar pulang atau ditempatkan di negara ketiga,” kata draf perintah itu.

 

Penubuhan zon selamat akan melonjakkan campur tangan tentera AS di Syria dan menandakan peralihan besar daripada dasar berhati-hati Obama.

 

Peningkatan kuasa udara oleh AS atau sekutunya diperlukan sekiranya Trump memilih untuk me­nguatkuasakan ‘zon lara­ngan terbang’, manakala tentera darat diperlukan bagi melindungi orang awam di zon selamat tersebut.

 

Bagaimanapun, dokumen itu tidak memberi perincian tentang definisi zon selamat, lokasinya dan pihak yang akan melindunginya.

 

Kerajaan Turki sudah lama mendesak Obama supaya menguatkuasakan zon larangan terbang di kawasan sempadan Turki dan Syria. – Reuters/Kosovo



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...