loading...

Operasi Cari Baki Enam Mangsa Bot Karam Diteruskan

KOTA KINABALU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 6 lagi mangsa bot pelancong jenis Catamaran yang karam ketika dalam perjalanan membawa pelancong warga China ke Pulau Mengalum, diteruskan pagi ini.

 

Menurut jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), operasi SAR yang disertai pelbagai agensi penguat kuasa dan keselamatan termasuk APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diteruskan seawal jam 7 pagi tadi.

 

“Operasi SAR hari ketiga diteruskan pada jam 7 pagi tadi. Antara aset yang terlibat ialah KM ADIL, Kilat 40, pesawat udara Bombardier (APMM), KD Ganas dan KD Serang (TLDM), C130 (TUDM),” katanya.

 

Turut serta dalam operasi SAR berkenaan ialah pihak berkuasa negara Brunei Darussalam menggunakan helikopter S92 yang memfokuskan pencarian di kawasan perairan negara berkenaan.

 

Menurut jurucakap berkenaan, kawasan pencarian hari ini dijangka meliputi kawasan seluas 1,500 batu nautika persegi iaitu lokasi 25 mangsa dijumpai petang semalam, termasuk tiga yang terkorban.

 

Pada Sabtu lalu, bot jenis Catamaran yang membawa 31 orang, termasuk 28 pelancong dari China, karam dipercayai dipukul ombak besar pada 10 pagi, sejam selepas bot itu bertolak dari jeti Tanjung Aru di sini ke Pulau Mengalum. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...