loading...

Modal Permulaan RM124, Kini Raih Pendapatan RM220,000 Sebulan

KUALA LUMPUR – Hanya bermula dengan modal sebanyak RM124, kini syarikat pengeluar produk penjagaan diri, Norah Beautyline Sdn. Bhd. mampu menjana nilai jualan berjumlah RM220,000 sebulan, malah pada tahun lalu sahaja nilai jualan syarikat tersebut mencecah sebanyak RM3.2 juta.

 

Berkongsi kisah, pengasas Norah Beautyline Sdn. Bhd., Noorain Mohd. Said, 25, berkata, perniagaannya bermula di asrama semasa belajar di Universiti Malaya dan setelah mendapati kurangnya produk penjagaan diri berasaskan organik di pasaran.

 

“Produk pertama dikeluarkan adalah produk ‘hair removal’ di mana saya memasaknya di dalam kuali di asrama pelajar. Selepas sejam pertama saya mempromosikan produk tersebut di Instagram saya berjaya mendapat hasil jualan sebanyak RM35.

 

“Tidak perlu menunggu lama, produk tersebut terus mendapat sambutan daripada rakan-rakan pelajar dan pelanggan lain di seluruh negara. Dari asrama saya berpindah menyewa sebuah kondominium dan kemudiannya membuka sebuah kilang di Jelapang, Perak demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

 

Noorain berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah Perniagaan Pelajar Terbaik pada Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (MEA) 2016 di sini baru-baru ini.

 

Ujar graduan bidang kimia itu, kejayaannya itu merupakan hasil usaha keras seluruh warga kerja Norah Beautyline Sdn. Bhd. selain Pusat Keusahawanan Universiti Malaya (UMEC) dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah memberikan banyak bantuan.

 

“Selain mahu mempelbagaikan lagi produk, sudah tentu perancangan saya selepas ini adalah untuk membantu pelajar-pelajar yang mahu menjana pendapatan dan ingin menjadi usahawan.

 

“Hasrat ini sudah saya laksanakan sejak Norah Beautyline Sdn. Bhd. ditubuhkan kerana majoriti ejen jualan sebelum ini merupakan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

 

Tambah Noorain, Norah Beautyline Sdn. Bhd. kini sudah memulakan operasi di Wisma Norah, Bandar Baru Bangi, Selangor yang turut menempatkan pejabat urusan dan kilang.

 

Syarikat tersebut kini mempunyai kira-kira 50 stokis dan lebih 500 ejen di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

 

Sementara itu, minat mendalam dalam bidang perniagaan telah mendorong Nik Nurfarah Fareena Auddin, 28, berhenti kerja sebagai juruaudit di sebuah firma audit antarabangsa dan kemudiannya mengusahakan perniagaan bakeri.

 

“Perniagaan bakeri ini telah saya usahakan sejak menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) lagi. Selepas tamat belajar saya mendapat tawaran bekerja di sebuah firma audit tetapi cuma bertahan selama setahun kerana keinginan hati masih tebal dalam bidang perniagaan.

 

“Saya terus memperkembangkan kedai bakeri saya di UMT dengan membuka sebuah lagi di Kuala Lumpur. Tahun lalu saya menerima dua projek daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dengan salah satunya merupakan projek bakeri bagi melahirkan kira-kira 30 usahawan muda dalam kalangan pelajar universiti,” katanya.

 

Tambahnya, ini merupakan sumbangan saya kepada UMT yang selama ini telah banyak memberikan bantuan dan kerjasama sehingga saya mencapai kejayaan ke peringkat ini.

 

Pada MEA 2016, Nik Nurfarah Fareena yang juga merupakan Pengurus Koperasi Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu Bhd. (Kosiswa) telah dipilih sebagai Mentor Keusahawanan Terbaik, sekali gus membolehkannya membawa pulang geran pembangunan keusahawanan bernilai RM5,000 beserta trofi.

 

“Anugerah yang dimenangi ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan selain memberi keyakinan kepada usahawan muda lain untuk kembali berbakti kepada institusi di mana mereka menimba ilmu dahulu,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...