loading...

Pembelian Oleh Felda Wujudkan Kerjasama, Jualan Bersilang FGV, EHP

KUALA LUMPUR – Dengan pembelian 37 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantation Tbk (EHP) Indonesia, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini mempunyai dua cabang perladangan, iaitu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan EHP bagi memaksimumkan pulangan pelaburannya.

 

Timbalan Ketua Pengarah FELDA (Pengurusan), Muzzammil Mohd Nor berkata, banyak kerjasama dan jualan bersilang akan wujud di antara kedua-dua syarikat.

 

“FGV dan EHP masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri yang akan menjamin hubungan sinergi di antara kedua-dua syarikat,” katanya dalam satu temubual di sini, pada Khamis.

 

Muzzammil berkata, pembelian itu bukan sahaja menjadi perkembangan positif untuk FELDA tetapi membantu merealisasikan penubuhan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang kini sedang dibincangkan kerajaan Malaysia dan Indonesia.

 

CPOPC merupakan satu inisiatif untuk kedua-dua negara berkongsi dan menggunakan sepenuhnya kedudukan mereka sebagai pengeluar minyak sawit global.

 

Ini akan memberi manfaat kepada pengguna minyak sawit kerana standard yang lebih seragam di antara kedua-dua negara boleh dihasilkan.

 

Pembelian itu juga, kata Muzzammil, menunjukkan usaha penting FELDA bukan sahaja menjadi lebih besar tetapi juga mempunyai suara lebih besar dalam pasaran komoditi dunia.

 

Ia juga langkah strategik kerana EHP memiliki kira-kira 320,000 hektar tanah dengan satu pertiga daripadanya telah ditanam dan memasuki kitaran pertumbuhan.

 

Selain itu, pelaburan tersebut juga membolehkan FELDA menembusi pasaran domestik Indonesia yang mempunyai 260 juta penduduk.

 

Menurutnya, ketika keadaan menjadi jelas yang anak syarikat perladangan FELDA, iaitu FGV tidak boleh menggerakkan perjanjian itu ke depan berikutan beberapa kekangan yang dihadapi, ia mula mencari jalan terbaik untuk FELDA campur tangan.

 

Sebagai entiti bukan disenarai, FELDA tidak disekat oleh pergerakan harga saham, tetapi ia masih mengambil pendekatan berhati-hati bagi menjayakan pembelian bagi memastikan institusi itu tidak terjejas walaupun dalam senario terburuk.

 

“FELDA adalah institusi sosial yang penting dan ia tidak boleh terus memeterai perjanjian tanpa mengikuti usaha wajar dan mematuhi tadbir urus yang baik,” katanya.

 

Disebabkan FELDA melabur dalam perniagaan terasnya, iaitu ladang kelapa sawit, Muzzammil berkata, pelaburan EHP merupakan peluang keemasan dan mungkin peluang terkhir untuk ia mengembangkan simpanan tanah ladang kelapa sawitnya di peringkat antarabangsa. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...