loading...

Jenazah SM Salim Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR – Jenazah penyanyi legenda tanah air, Tan Sri SM Salim, 88, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang pada 2.45 petang tadi.

 

Terdahulu, jenazah penyanyi veteran yang berada di kediamannya di Ukay Perdana dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

 

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan rakan hadir di masjid serta tanah perkuburan.

 

SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros meninggal dunia di kediamannya akibat sakit tua pada 5.45 petang semalam, selepas kritikal sejak awal pagi Rabu.

 

Beliau meninggalkan isteri Puan Sri Aishah Mohd Ghani dan 7 anak.

 

Menurut anak sulung penyanyi itu, Siti Noraishah, 60, keluarganya berharap masyarakat dapat mengingati bapanya sebagai seorang yang berjasa kepada industri seni tanah air, terutama perjuangannya mempromosikan lagu Melayu klasik.

 

“Kenanglah abah sebagai seorang pejuang seni sejati, abah menyanyi bukan kerana duit tetapi beliau menganggap kerja seni itu sebagai terapi buat dirinya.

 

“Beliau pernah meluahkan perasaan risaunya terhadap generasi muda yang kurang berminat dengan lagu asli, beliau mahu genre lagu ini terus hidup walaupun apabila ketiadaannya,” katanya kepada Bernama.

 

Shamsul, 51, yang merupakan anak ke-6 pula berkata, bapanya tidak menggalakkan anak dan cucunya mengikuti jejaknya menceburi bidang seni.

 

Jelasnya, bintang irama klasik itu tidak mahu anaknya meneruskan legasi dalam dunia nyanyian kerana cabaran dan pahit maung yang ditanggung semasa memasuki dunia hiburan.

 

“Abah tidak mahu mana-mana ahli keluarganya mengikuti jejaknya kerana bagi beliau pengalaman bergelar insan seni bukan mudah ditempuh sesiapa pun.

 

“Kami semua boleh menyanyi dengan baik, mungkin mewarisi bakat daripada beliau sendiri, namum kami tidak menjadikan bakat seni itu sebagai satu sumber pendapatan untuk bergantung hidup,” kata Shamsul.

 

SM Salim memulakan kariernya sebagai penyanyi sejak 1957 dan merupakan penyanyi lagu Melayu klasik.

 

Biduan negara itu lumpuh akibat sakit saraf dan terpaksa menggunakan kerusi roda sejak 17 tahun lalu. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...