loading...

Jadikan Malaysia Selamat, Makmur – PM

KUALA LUMPUR – Selepas mengharungi 2016 dengan jayanya biarpun terpaksa menempuh ba­nyak cabaran terutama dalam hal politik dan ekonomi, kerajaan komited untuk terus menjadikan Malaysia lebih selamat, makmur serta saksama pada 2017.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, di sam­ping tumpuan khusus memba­ngunkan negara, 2017 juga bakal menjadi saksi bahawa Malaysia tidak akan sesekali menjauhkan diri daripada menyuarakan pandangan serta terus memainkan peranan aktif dalam isu-isu glo­bal.

 

Bagi tujuan itu katanya, Malaysia akan tetap komited untuk menyokong usaha ke arah keamanan di Asia Barat seperti yang ditunjukkan dalam resolusi menentang penempatan haram Israel di Pa­lestin, selain berusaha menghentikan kezaliman terhadap etnik Rohingya.

 

Menurut Perdana Menteri, da­lam konteks menjadikan Malaysia lebih selamat, makmur dan saksama, usaha tersebut penting untuk menjayakan Transformasi Negara 2050 (TN50), sekali gus melahirkan sebuah masyarakat Malaysia maju serta penuh de­ngan keya­kinan diri yang tinggi.

 

“Sepanjang tahun lalu kerajaan berjaya membina daya tahan ekonomi negara dengan mengekalkan defisit, inflasi serta pengangguran di tahap terendah. Kita mencatat pertumbuhan antara 4.3 hingga 4.5 peratus, kadar yang menjadi impian bagi Eropah serta Amerika Utara.

 

“Maknanya formula kita berjaya dan rakyat wajar berbangga. Rakyat juga perlu berbangga apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) merumuskan Malaysia menunjukkan prestasi ekonomi baik walaupun persekitaran global tidak menentu,” katanya dalam blog, http://ift.tt/2ikVDAA.

 

Tambah Najib, kerajaan juga komited untuk memberi per­khidmatan terbaik bagi meningkatkan keselesaan kepada rakyat dan bagi tujuan tersebut sistem pe­ngangkutan Mass Rapid Transit (MRT) fasa pertama dilancarkan minggu lalu.

 

Jelasnya, selain MRT, beberapa projek lain seperti Rapid Pengerang di Johor; Malaysia Vision Valley; Bandar Malaysia; Tun Razak Exchange (TRX); Le­buhraya Pan Borneo; Rangka­i­an Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) juga merupakan bukti ke­sungguhan kerajaan bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

 

Dalam perkembangan ber­asingan, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Malaysia akan terus berada di barisan hadapan dalam perjuangan menentang ekstremisme dan radikalisme baik dalam negara mahupun di luar negara.

 

“Kerajaan akan sentiasa mele­takkan keselamatan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, tetapi dalam soal ekstremisme kita sudah berdepan serangan pertama Daesh pada Jun lalu, tetapi kerajaan memberi jaminan keselamatan rakyat akan terus dilindungi,” katanya. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...