loading...

501 Mangsa Banjir Kuala Krai Ditempatkan Di Pusat Pemindahan

KOTA BHARU – Seramai 501 orang daripada 120 keluarga dari daerah Jeli dan Kuala Krai dipindahkan ke enam pusat pemindahan banjir sehingga tengah hari Sabtu.

 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Husin berkata mereka dipindahkan secara berperingkat sejak pukul 8 pagi apabila kawasan kediaman mereka yang terletak di lokasi rendah dinaiki air sedalam kira-kira satu meter akibat hujan lebat.

 

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 83 keluarga dipindahkan di daerah Jeli manakala 37 keluarga di Kuala Krai.

 

“Di Jeli, 15 keluarga (58 orang) ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kuala Balah, 53 keluarga (208 orang) di Dewan Kesedar Jeli dan 15 keluarga (50 orang) di Sekolah Kebangsaan Jeli 1.

 

“Daerah Kuala Krai mencatatkan pemindahan mangsa banjir seramai 37 keluarga dengan 25 keluarga (125 orang) ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kampung Bedal, lapan keluarga (40 orang) di Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh dan empat keluarga (20 orang) di Dewan Belia Kampung Bedal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Zainuddin berkata jumlah mangsa dan pusat pemindahan dijangka meningkat dari semasa ke semasa berikutan hujan yang berterusan, bagaimanapun jalan-jalan utama di kawasan terbabit masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...