loading...

Polis Serbu NGO Empower Disyaki Terima Dana George Soros

KUALA LUMPUR — Pejabat Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) di Petaling Jaya yang diserbu semalam disyaki menerima dana daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan oleh George Soros.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata serbuan di pejabat badan bukan kerajaan (NGO) itu yang dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah menemui bukti dan merampas beberapa dokumen untuk siasatan lanjut.

 

“Polis sedang mengumpulkan maklumat dan setelah memperoleh maklumat yang mencukupi, kami akan menahan beberapa individu lagi dalam tempoh terdekat ini.

 

“Saya menasihatkan semua agar berhati-hati sekiranya berurusan dengan pihak luar kerana polis masih memantau beberapa NGO yang lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Motosikal Kawasaki KLX250 sumbangan Felda Global Ventures Holdings Berhad kepada Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

 

Laman sesawang DC Leaks mendakwa Soros membiayai kumpulan pendesak dan badan bukan kerajaan dalam usahanya untuk mempengaruhi pilihan raya Malaysia.

 

Menyentuh mengenai pembebasan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah semalam, Khalid berkata: “Kami membebaskan Maria walaupun belum sampai 28 hari kerana perkara yang diperlukan untuk siasatan telah diselesaikan dan tiada sebab untuk menahan beliau dengan lebih lama lagi,” katanya.

 

Beliau berkata polis telah mengambil keputusan bagi membebaskan Maria namun siasatan masih diteruskan sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

 

Maria ditahan 18 November lepas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

 

Katanya, polis juga sedang menyiasat Maria di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kesalahan yang telah dilakukan. — Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...