loading...

Dua Rakyat Malaysia Edar Dadah Di Tahan

JAKARTA – Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia pada Sabtu mengesahkan penangkapan dua rakyat Malaysia di Bali kerana didakwa terbabit dalam pengedaran dadah.

 

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pihak berkuasa Indonesia telah memberi maklumat rasmi mengenai penangkapan kedua-dua rakyat Malaysia terbabit yang berasal dari Selangor dan Negeri Sembilan.

 

“Kita mendapat maklumat rasmi yang mengesahkan bahawa dua rakyat Malaysia iaitu seorang pegawai sukan dan seorang penuntut universiti telah ditahan di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali setelah pihak berkuasa Indonesia menemui dadah dalam bagasi milik salah seorang daripada mereka,” katanya kepada Bernama di sini.

 

Katanya pihak kedutaan telah menghubungi keluarga mereka di Malaysia bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

 

Zahrain berkata mereka kini ditahan di balai Polis Daerah Bali untuk siasatan lanjut dan pihak kedutaan setakat ini masih belum menemui mereka.

 

Kedua-dua rakyat Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali petang semalam setelah didapati membawa lebih 100 biji pelbagai dadah jenis sintetik dan lebih 70 gram ganja.

 

Ketua Kastam Ngurah Rai, Budi Harjanto berkata, kedua-dua lelaki rakyat Malaysia berumur 36 dan 22 tahun itu memasuki Bali dengan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur.

 

Mereka ditahan ketika melalui bahagian pemeriksaan bagasi di lapangan terbang di Bali kira-kira 4 petang.

 

Beliau berkata, melalui pemeriksaan badan, pihaknya turut menemui beberapa potongan pokok ganja yang disembunyikan dalam sarung kaki salah seorang daripada mereka.

 

Budi berkata, siasatan awal mendapati mereka membawa dadah itu bagi tujuan pengedaran di sebuah pusat hiburan di Bali.

 

Katanya, kedua-dua rakyat Malaysia itu ditahan di bawah Pasal 133 Undang-undang Dadah 2019 yang membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan denda Rp 1 miliar (RM300,000) jika disabit kesalahan. – mstar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...