loading...

Polis Kesan Individu Buat Ancaman Bom Palsu Di BSKL

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan orang yang bertanggungjawab membuat ancaman bom palsu di bangunan Bursa Malaysia Berhad dan Kuil Kortumalai Sri Ganesar di Jalan Pudu Lama di sini tengah hari Jumaat.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata seorang petugas pejabat keselamatan Bursa Malaysia telah menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali yang memaklumkan akan berlaku letupan di kedua-dua lokasi berkenaan selepas solat Jumaat.

 

“Susulan itu, pekerja itu bersama rakan setugas datang membuat laporan polis dan kami menghantar Unit Pengesan Bom serta Unit Anjing Pengesan di kedua-dua lokasi tersebut namun tiada bom dijumpai.

 

“Selepas kira-kira tiga jam membuat pemeriksaan, polis mengesahkan bahawa panggilan bom ini adalah palsu,” katanya, dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

 

Tinjauan Bernama pada 1.30 tengah hari mendapati pengurusan kuil berkumpul di luar bangunan itu sementara polis melakukan pemeriksaan dalam kuil.

 

Di luar bangunan Bursa Malaysia pula, kira-kira 1,000 orang termasuk kakitangan Bursa Malaysia, Bank HSBC dan Astro Awani berkumpul kira-kira 1 kilometer dari bangunan itu.

 

Pada pukul 3.23 petang polis mengesahkan tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dan bangunan itu selamat.

 

Kakitangan bangunan itu mula menjalankan operasi mereka seperti biasa selepas pengumuman itu dan kuil meneruskan upacara sembahyang seperti biasa.-Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...