loading...

Orang Ramai Boleh Daftar Pemilih Selepas 30 Sept – SPR

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan sistem pendaftaran pemilih sepanjang tahun, lantaran itu orang ramai masih boleh berdaftar selepas 30 September ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

 

 

Beliau berkata, tarikh 30 September ini merupakan tarikh akhir bagi pendaftaran yang akan dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2016.

 

 

Orang ramai yang mendaftar dalam tempoh tersebut akan dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan bagi suku keempat tahun ini, selepas tarikh itu, bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2016.

 

 

Menurutnya, SPR mewartakan Daftar Pemilih Tambahan berdasarkan suku tahun iaitu suku tahun pertama (Januari-Mac), suku kedua (April-Jun), suku ketiga (Julai September) dan suku keempat (Oktober-Disember).

 

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mesej di laman sosial yang mendakwa esok adalah tarikh tutup pendaftaran yang melayakkan individu mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 jika ia diadakan pada bulan Mac tahun depan.

 

 

Mohd Hashim yang menyifatkan mesej itu adalah andaian pihak-pihak tertentu semata-mata dan ianya tidak benar.

 

 

“Jangkaan PRU-14 akan berlaku pada Mac 2017 andaian pihak tertentu sahaja. Penentuan pembubaran Dewan Rakyat adalah di bawah bidang kuasa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan itu.

 

 

Beliau menyarankan orang ramai yang belum mendaftar agar segera berbuat demikian tanpa menunggu saat-saat akhir.

 

 

Mohd Hashim turut menjelaskan kaedah pendaftaran yang diguna pakai SPR sekarang memerlukan seseorang hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih yang dilantik SPR.

 

 

Orang ramai perlu membawa bersama kad pengenalan asal dan mengisi borang A.

 

 

“Viral yang menyatakan pendaftaran pemilih boleh dilakukan menerusi kaedah pesanan ringkas atau aplikasi WhatsApp dengan menghantar salinan kad pengenalan ke nombor talian tertentu adalah tidak benar,” katanya.

 

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...