loading...

Kerajaan Negeri Jamin Air Di Kelantan Bersih 10 Tahun Lagi

KOTA BHARU — Rakyat Kelantan diyakini akan mendapat bekalan air bersih dengan sempurna dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air yang dimuktamadkan 14 September lepas.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Kelantan Datuk Hanifa Ahmad berkata kerajaan negeri akan berusaha mencapai petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) setiap tiga tahun sekali.

 

“Untuk tiga tahun pertama ini, Span tetapkan kita mesti meningkatkan tahap bekalan air kepada 75 peratus menerusi beberapa perkara asas iaitu kualiti, kekeruhan, menangani kebocoran, tekanan dan rizab air.

 

“Setakat ini, pencapaian kita pada tahun lepas adalah 55 peratus dan kita perlu tingkatkan pencapaian kita sebanyak 20 peratus dalam tempoh tiga tahun tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

 

Pada 14 Sept lepas, kerajaan Persekutuan dan Kelantan memuktamadkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan yang bakal memanfaatkan 1.6 juta pengguna di negeri itu dengan perkhidmatan air yang lebih mampan.

 

Rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan bermula sejak 2008 tanpa sebarang penyelesaian dan kemelut itu telah menjejaskan industry perkhidmatan bekalan air, khususnya berkaitan kualiti dan kuantiti air di negeri ini.

 

Kelantan merupakan negeri keenam yang melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air seperti diperuntukkan di bawah Akta 655 selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

 

Hanifa berkata kerajaan negeri memerlukan lebih RM2 bilion bagi menukar paip sepanjang 4,000 kilometer bagi menepati sasaran yang ditetapkan oleh Span.

 

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menukar kira-kira 2,000 kilometer paip dan sedang menyiapkan Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Condong di Machang yang dijangka siap, hujung tahun ini.

 

“Selepas projek yang memakan masa lebih dua tahun itu siap, ia akan member manfaat kepada kira-kira 150,000 akaun pengguna di bahagian tengah Kelantan merangkumi jajahan Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh,” katanya. — Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...