loading...

Selangor Mansuh Diskaun 10 Peratus Untuk Bumiputera

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan diskaun 10 peratus untuk bumiputera bagi pembelian pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (SOVO) di negeri ini akan dimansuhkan bermula 1 September ini.

 

Mohamed Azmin berkata, sebaliknya diskaun tersebut akan diberikan kepada semua kaum dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Menurutnya, penyelarasan semula harga itu dibuat bagi membolehkan rakyat yang tergolong dalam kategori berkenaan mempunyai keupayaan memiliki hartanah sendiri.

 

“Untuk perumahan mampu milik ini sama ada pangsapuri perkhidmatan, SOHO atau SOVO atau kemudahan lain atas nama mampu milik dan kos rendah, kerajaan ne­geri tidak mengenakan syarat mengikut kaum.

 

“Kalau bicara soal kemiskinan, ia meren­tasi kaum dan agama manakala prinsip kerajaan negeri ialah membantu golongan berkenaan.

 

“Dalam soal penyelarasan semula harga jualan (pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan SOVO mampu milik dan kos rendah) ini, ada beberapa garis panduan yang kita telah persetujui. Tetapi prinsip kerajaan negeri adalah kemiskinan tidak kenal warna kulit, agama dan kaum,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pembe­rita selepas melancar­kan buku bertajuk Ins­titusi Seni Khat dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu di sini semalam.

 

Yang turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pela­buran, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan negeri, Datuk Teng Chang Khim.

 

Laporan portal propembangkang, Malaysiakini menyebut, kerajaan PKR Selangor akan melaksanakan garis panduan pembangunan baharu bermula 1 September ini yang antara lain memansuhkan 10 peratus diskaun bumiputera bagi pembelian pangsapuri per­khidmatan, SOHO dan SOVO.

 

Walau bagaimanapun, menurut Chang Khim, kuota jualan hartanah sebanyak 30 peratus untuk bumiputera akan diteruskan seperti biasa.

 

Pada masa sama, Mohamed Azmin memberitahu, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi isu kerana dakwanya hasrat kerajaan negeri adalah untuk memberi tumpuan kepada golo­ngan berpendapatan rendah daripada semua kaum.

 

“Namun kita (kerajaan negeri) ada syarat yang perlu dipatuhi (oleh pembeli) iaitu had pendapatan isi rumah, tidak mempunyai hartanah lain dan sebagainya.

 

“Semua permohonan kita akan semak termasuklah dengan institusi perbankan tempatan,” ujarnya. – Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...