loading...

Penyerang Gereja Taksub Dengan Pemimpin IS, Kata Menteri

JAKARTA – Seorang remaja yang bersenjatakan pisau dan cuba menikam seorang paderi di sebuah gereja semasa upacara hujung minggu taksub kumpulan pengganas IS, menurut seorang menteri kanan pada Isnin.

 

Pihak berkuasa Indonesia semakin bimbang akan kebangkitan radikalisme di negara majoriti penganut agama Islam terbesar dunia itu, didorong oleh generasi pelampau yang dipengaruhi IS.

 

“Daripada telefon bimbit yang dirampas pihak berkuasa, anak muda itu taksub dengan Abu Bakr al-Baghdadi,” kata Menteri Keselamatan Wiranto kepada pemberita, merujuk kepada pemimpin kumpulan militan Timur Tengah itu.

 

Menurut Wiranto, sepucuk nota tertulis “Saya sayangkan al-Baghdadi” ditemui dalam beg galas penyerang tetapi suspek tidak punyai kaitan dengan jaringan militan sedia ada.

 

Tiada kecederan parah dilaporkan dalam serangan terbaharu itu, yang berlaku di sebuah gereja di Medan, utara Sumatera. Polis berkata penyerang cuba menikam paderi terbabit, yang mengalami kecederaan ringan, dan mahu meletupkan sebiji bom buatan sendiri tetapi gagal kerana ditahan hadirin.

 

Suspek, dikenalpasti sebagai Ivan Armadi berusia 17 tahun sedang disoal siasat. Polis merampas bahan membikin bom daripada rumahnya selepas serangan itu dan menurut polis penyerang belajar menghasilkan bom daripada Internet.

 

Pegawai anti-pengganas berkata terdapat ratusan simpatisan IS di Indonesia, dimana majoriti penganut agama Islam mengamalkan bentuk ajaran yang sederhana. Indonesia mengalami serangan berkaitan IS yang pertama pada Januari, apabila empat orang tewas dalam serangan bom dan senjata api.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...