loading...

Penduduk Kampung Rayu Pihak Berkuasa, Bimbang Kehadiran Buaya

LUNDU – Pihak berkuasa diminta mengambil langkah tertentu ekoran kehadiran buaya di Sungai Rayu bagi memastikan keselamatan orang ramai dan penduduk kampung terjamin kerana mereka menggunakannya sebagai tempat beriadah dan mandi.

 

Difahamkan semalam, seekor buaya yang panjang hampir empat meter dengan berat sekitar 120 hingga 150 kilogram telah masuk dalam satu perangkap sangkar yang diletakkan Perbadanan Perkayuan Sarawak (SFC) di sini.

 

Salah seorang penduduk Kampung Rayu yang enggan dikenali berkata, dahulu dia tidak pernah mendengar kemunculan buaya di kawasan itu.

Katanya, penduduk kampung juga telah membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai kehadiran buaya di sini.

 

“Kita risau dengan keselamatan penduduk di sini terutama kanak-kanak yang mandi dan bermain di sungai ini.

 

“Justeru itu, kita berharap pihak berkuasa dapat bertindak aktif dalam membendung kehadiran buaya di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Tambahnya, selain buaya besar itu, dia juga pernah nampak buaya yang kecil di situ.

 

Sementara itu, jurucakap SFC memberitahu, reptilia yang terperangkap itu jenis buaya katak yang telah dikesan sebelum ini.

 

“Kita telah meletakkan sangkar bagi memerangkapnya pada dua minggu lalu.

 

“Buaya ini dipercayai datang kira-kira 100 meter ke hilir sungai kemungkinan kerana terdapat buaya lain,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC telah mengambil masa hampir dua jam bagi membawa buaya itu ke Pusat Hidupan Liar Matang (MWC) hari ini. – Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...