loading...

KBS Baru Sedar Rakyat Kurang Bersukan

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) nampaknya baru sedar bahawa rakyat Malaysia masih belum mengamalkan budaya sukan secara menyeluruh.

 

 

Bagi sesetengah pihak, mereka sudah lama mengetahuinya kerana kemudahan yang disediakan untuk tujuan tersebut sangat terhad, malah ada kemudahan yang disediakan agak ketat pengawalannya kerana penggunaannya akan dikenakan sewa.

 

 

Kawasan terbuka untuk orang awam melakukan aktiviti sukan juga semakin ‘pupus’ kerana sudah berubah wajah menjadi tapak pembangunan.

 

 

Masalah-masalah tersebut sekali gus ‘membunuh’ minat sebahagian rakyat tempatan untuk bergerak aktif dalam kegiatan sukan.

 

 

Justeru, tidak ramai yang berasa terkejut dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam yang menjelaskan bahawa hanya 40 peratus sahaja jumlah penduduk negara ini yang mengamalkan gaya hidup sihat.

 

 

Khairy juga mengakui bahawa Malaysia berdepan kesukaran untuk melahirkan jaguh sukan yang boleh mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa khususnya pada peringkat Sukan Olimpik.

 

 

Apa yang pasti, selepas berakhirnya era penguasaan Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Datuk Nicol David (skuasy) di pentas antarabangsa, Malaysia tidak mungkin mampu mencari pengganti jika budaya bersukan bukan menjadi keutamaan dalam kalangan rakyat tempatan.

 

 

“Jika kita lihat kepada negara-negara maju seperti Australia, Jepun, United Kingdom dan lain-lain, mereka mampu menjadi pemenang pingat yang banyak pada Sukan Olimpik kerana rakyatnya membudayakan sukan.

 

 

“Bagaimana kita hendak mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong sekiranya rakyat tidak bersukan. Kita tidak tahu bila akan muncul atlet yang setanding mereka yang mempunyai prestasi cemerlang selepas ini,” akui Khairy pada majlis pelancaran acara maraton HSN21KM di Galeri KBS, Putrajaya semalam.

 

 

Katanya, penganjuran Hari Sukan Negara umpamanya adalah bagi mencetus gelombang untuk membentuk budaya bersukan dalam kalangan rakyat di negara ini.

 

 

“KBS sasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan dengan lebih 60 peratus rakyat libatkan diri dalam aktiviti kecergasan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya lagi beliau mengharapkan lebih ramai rakyat terlibat dalam aktiviti sukan agar ia boleh menyediakan ekosistem untuk melahirkan lebih ramai lagi kumpulan atlet yang mampu berdaya saing di pentas antarabangsa. -Kosmo



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...