loading...

Israel Godam Dan Intip Pengguna iPhone

BAITULMUQADDIS – Perisikan Israel dikesan menggodam Iphone pengguna sebagai sebahagian daripada pengawasan dan pengintipan tenteranya.

 

Ia susulan penemuan satu perisian intip yang boleh mendedahkan gambar dan mesej dalam simpanan pengguna Iphone yang mendorong syarikat Apple segera melakukan pengemaskinian untuk pengguna minggu lalu.

 

Menurut laporan, sebaik sahaja perisian intip itu diaktifkan pengguna tanpa disedari, ia akan mengawal Iphone tanpa meninggalkan sebarang kesan.

 

Pengemaskinian itu dilakukan selepas telefon aktivis hak asasi Emiriah Arab Bersatu, Ahmed Mansoor menerima mesej meminta beliau untuk klik pada pautan maklumat mengenai tahanan diseksa di negara Teluk.

 

Beliau yang curiga segera menghantar mesej itu kepada pakar keselamatan telefon bimbit di Citizen Lab Universiti Toronto.

 

Mereka menemui perisian intip “Pegasus” yang dibangunkan Kumpulan NSO, sebuah syarikat milik firma ekuiti swasta Amerika Syarikat bernama Francisco Partners Management yang berpangkalan di Herzliya, iaitu “lembah silikon” Israel.

 

Penyelidikan Citizen Lab mendapati telefon bimbit Mansoor “akan menjadi pengintip digital dalam poketnya untuk mengintip aktiviti di sekitar peranti menggunakan kamera dan mikrofon Iphone”.

 

Penyelidik berkata, perisian intip itu juga boleh merakam panggilan Viber dan WhatsApp serta mengesan pergerakannya.

 

Menurut laporan AFP, terdapat lebih 300 syarikat berkaitan siber di Israel yang kebanyakannya berminat dalam produk serangan siber.

 

“Israel adalah antara peneraju dunia dalam sektor siber,” kata Daniel Cohen, pakar keganasan siber di Institut Pengajian Keselamatan Negara di Israel.

 

“Selepas meninggalkan pasukan tentera, pakar terbabit akan menggunakan pengetahuan mereka untuk membuka sebuah syarikat baharu atau diupah syarikat sedia ada dengan gaji lumayan.”

 

Badan bukan kerajaan (NGO) Britain, Privacy International dalam satu laporan baru-baru ini mendedahkan terdapat 27 firma pengawasan yang berpangkalan di Israel. – AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...