loading...

Husam Bakal Umum Sertai PAN

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dikatakan bakal mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Amanah Negara (PAN) malam ini.

 

Menurut sumber, pengumuman itu sekaligus menafikan beliau menunggu kelulusan Parti Pribumi Bersatu untuk menyertai kumpulan parti tajaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Selepas tidak dipilih menjadi pemimpin Pas pada muktamar parti, Ahli Dewan Undangan Salor itu kelihatan ‘mesra’ dengan PAN walaupun masih berada dalam Pas dan kini beliau sudah bebas untuk memilih mana-mana platform meneruskan perjuangan politiknya.

 

Lagi pun, semasa dalam Pas, Husam sudah lama dicop sebagai kumpulan mempelam harumanis – hijau di luar tetapi oren di dalam (hijau warna rasmi Pas manakala oren warna PAN) selain Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

 

Semalam, Husam menyatakan sudah empat bulan lebih beliau ‘tergantung’ selepas membuat rayuan kepada Pas tetapi belum menerima sebarang balasan membuatkannya terfikir untuk menukar jersi baharu.

 

Sekiranya benar kemasukan Husam ke dalam PAN, ia bermakna beliau akan mengembangkan parti serpihan Pas itu di Kelantan dan menarik seberapa ramai pengikutnya ke dalam parti dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

 

PAN didakwa tidak mampu ‘hidup’ di Kelantan namun sekiranya faktor Husam – bekas pemimpin Pas berpengaruh dan berpengalaman – tidak mustahil PAN mampu memberi kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. – MalaysiaGazette



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...