loading...

FGV Rekod Keuntungan RM108 Juta Sebelum Cukai

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) kembali mencatatkan keuntungan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2016 dengan mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat RM108 juta berbanding kerugian RM70 juta pada suku sebelumnya.

 

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat 10 peratus kepada RM4.140 bilion berbanding RM3.755 bilion suku sebelumnya.

 

Berdasarkan perbandingan tahun-ke-tahun, keuntungan sebelum cukai dan zakat itu mewakili penyusutan 43 peratus berbanding RM191 juta suku sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2016, kumpulan itu mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat terkumpul berjumlah RM38 juta, mewakili penyusutan 86 peratus berbanding RM264 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan untuk tempoh setengah tahun itu meningkat 14 peratus kepada RM7.895 bilion.

 

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, berkata pengeluaran tandan buah segar (TBS) FGV mencatat peningkatan 38 peratus kepada 1.08 juta tan pada suku dikaji berbanding 700,000 tan suku sebelumnya.

 

Beliau berkata, peningkatan pengeluaran TBS itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 36 peratus kepada 0.66 juta tan berbanding 0.49 juta tan suku pertama 2016.

 

“Kilang sawit juga berjaya mencatat purata kadar penggunaan sebanyak 60 peratus pada suku dikaji berbanding 45 peratus suku sebelumnya,” katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi suku kewangan kedua kumpulan itu di Kuala Lumpur hari ini.

 

Zakaria berkata, pengenalan pelbagai inisiatif penambahbaikan dalam sektor huluan mula menunjukkan hasilnya apabila hasil TBS setiap hektar pada suku dikaji meningkat 35 peratus kepada 3.97 tan bagi setiap hektar berbanding 2.94 tan setiap hektar pada suku sebelumnya, manakala kos pengeluaran MSM, tidak termasuk kilang, menurun sembilan peratus berbanding suku sebelumnya.

 

Beliau berkata, program tanam semula FGV pula berada di landasan betul untuk mencapai sasaran 16,000 hektar tahun ini apabila 14,000 hektar ladang ditebang dan 2,307 hektar sudah ditanam semula.

 

Bagi proses pensijilan semula minyak sawit lestari (RSPO), FGV mensasarkan 16 kompleks kilang sawit akan menerima pensijilan tahun ini dan sudah memulakan program penerangan serta latihan kepada peneroka dan pekebun kecil, katanya.

 

Beliau berkata, beberapa inisiatif korporat dan operasi di bawah pelan transisi yang diperkenalkan pada suku dikaji sudah menunjukkan hasilnya pada suku sama.

 

“Kami mengenal pasti beberapa aspek yang hasilnya hampir dicapai manakala beberapa aspek lagi perlu mengambil sedikit masa,” katanya sambil menyifatkan perkembangan positif pada suku dikaji sebagai kejayaan kepada semua pihak terbabit.

 

Beliau berkata, pihaknya akan terus menumpu kepada meneruskan momentum suku pertama untuk suku-suku berikutnya.

 

Beliau turut menekankan, potensi melepaskan perniagaan bulan teras dan rasionalisasi beberapa kilang sawit dan aset sektor getah bagi membolehkan kumpulan itu meningkatkan nilai dan mengukuhkan kedudukan kewangannya.

 

Antara pelupusan itu termasuk menjual keseluruhan 20 peratus kepentingan dalam syarikat insurans AXA Affin General Insurance Bhd, katanya. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...