loading...

Tindakan DOJ Ke Atas 1MDB Cacat Dari Segi Perundangan – Peguam Australia

KUALA LUMPUR – Langkah Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat merampas aset yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempunyai kecacatan dari segi undang-undang, kata seorang peguam kanan Australia kelahiran Malaysia.

 

Quintin Rozario, seorang peguam litigasi terkemuka di Brisbane, berkata dengan membuat kenyataan terbuka mengenai individu Malaysia yang didakwa melakukan pengubahan wang haram ke Amerika Syarikat, Peguam Negara Loretta Lynch sendiri telah ‘keterlaluan dan melanggar keadilan asasi”.

 

Rozario yang dihubungi dari Brisbane memberitahu Bernama, Lynch sudah melampaui batas kuasanya dengan merumuskan bahawa satu kesalahan atau beberapa kesalahan telah dilakukan oleh Malaysia atau ejennya.

 

“Beliau seterusnya membayangkan mereka telah melakukan kesalahan itu menerusi kenyataan tanpa disertai bukti kukuh atau keputusan mahkamah yang sah yang boleh menyokong dakwaannya.

 

“Untuk perkara itu berlaku, defendan rakyat Malaysia itu harus diadili terlebih dahulu. Bagaimanapun mereka tidak pun diadili,” katanya.

 

Rozario berkata, menjadi prinsip undang-undang bahawa penjenayah paling keji sekalipun layak dan berhak mendapat keadilan asasi mengikut perlembagaan.

 

“Hak untuk didengar dan peluang membentangkan hujah mempertahankan diri, mencabar dakwaan dan keterangan terhadap mereka, dan untuk pendakwa berhadapan dengan orang yang dituduh, masih belum berbangkit.

 

“Sebagai pegawai tertinggi undang-undang di negaranya, tindakan Loretta Lynch baru-baru ini adalah menafikan perbicaraan yang adil atau apa juga perbicaraan kepada responden. Loretta sendiri pada masa sama telah menjadi hakim, juri dan pelaksana hukuman,” katanya.

 

Rozario berkata, tindakan Peguam Negara Amerika Syarikat itu juga jelas bertentangan dengan keputusan Mahkamah Agung negara itu pada 2014 dalam kes Daimler lawan Baume.

 

Dalam kes berkenaan, mahkamah tertinggi negara itu memutuskan sebarang pelanggaran tindakan yang dilakukan penduduk di Amerika Syarikat, perbuatan mereka tidak dapat dikaitkan dengan kerajaan atau dalam kes ini, 1MDB.

 

“Sebaliknya Mahkamah Agung memutuskan aktiviti mereka hanya akan mewujudkan bidang kuasa tertentu di negeri tempat mereka tinggal di Amerika Syarikat,” katanya.

 

Pada 20 Julai lepas, Lynch dalam kenyataannya ketika mengumumkan tindakan undang-undang, antara lain berkata ahli perniagaan Malaysia dikenali sebagai Jho Low melakukan pengubahan wang haram berjuta-juta dolar ke Amerika Syarikat, dengan membeli hartanah serta menjalani gaya hidup mewah.

 

“Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada 2014 itu cukup jelas.

 

“Walaupun Jho Low atau individu yang disebut dalam aduan itu adalah penduduk di Amerika Syarikat dan adalah agen 1MDB atau kerajaan Malaysia, mereka telah melakukan kesalahan di negeri mereka tinggal, perbuatan mereka tidak boleh dikaitkan dengan kerajaan atau 1MDB,” kata Rozario.

 

Beliau juga menyentuh rekod Amerika Syarikat dalam mematuhi undang-undang antarabangsa yang digambarkannya sebagai ‘tidak konsisten pada tahap terbaik, bersifat memilih dan mempunyai kecacatan paling teruk’.

 

Katanya, Amerika Syarikat mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan yang boleh digunakan ke atas pihak yang mereka boleh atau mahu tundukkan.

 

“Pendekatan Loretta Lynch dalam isu 1MDB ini adalah seiring dengan tindakan Amerika Syarikat selama ini yang menggunakan taktik kekerasan ke atas negara kecil.

 

“Ini lakukan dengan beranggapan bahawa ia mempunyai kuasa untuk menjejaskan kedaulatan Malaysia dan menguatkuasakan ‘kewajipan undang-undangnya’ dengan merampas kuasa itu daripada mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia serta agensi lain dalam kerajaan mereka,” katanya.

 

Hujah Rozario mengukuhkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lepas bahawa proses perundangan perlu dihormati dan mereka yang dinamakan dalam tindakan DOJ harus diberi peluang mempertahankan diri, termasuk di mahkamah. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...