loading...

Tentera Darat Tingkat Kawalan Di Sempadan Kekang Penyeludupan Senjata Api

KUANTAN – Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara ini dalam usaha mengekang sebarang aktiviti penyeludupan termasuk senjata api.

 

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, bagi tujuan itu beliau telah mengarahkan Panglima Medan supaya semua anggota bertugas di sempadan melakukan eksesais secara berkala untuk menentukan keselamatan kawasan berkenaan.

 

“Warga tentera yang berkhidmat di situ (sempadan negara) akan terus memantau keselamatan dan kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelak benda ini (penyeludupan senjata api) berlaku.

 

“Penyeludupan ini berbagai-bagai bentuk dan cara,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Tentera Darat di Kem Darlockwood di sini, Jumaat malam.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah saluran televisyen yang mengatakan antara punca utama dikenal pasti kes jenayah tembak semakin berleluasa sejak kebelakangan ini adalah disebabkan aktiviti penyeludupan senjata api di sempadan yang semakin aktif dan upah pembunuh upahan yang rendah.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Panglima 4 Briged (Mekanize) Brig Jen Datuk Md Din Abu.

 

Selain itu, Raja Mohamed Affandi berkata, TDM turut mempunyai kerjasama yang baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek penyelarasan operasi antara kedua-dua pasukan keselamatan berkenaan di sempadan negara.

 

Ditanya kemungkinan untuk menambah keanggotaan sedia ada di sempadan, beliau berkata, pada masa ini tiada keperluan anggota tentera ditambah bagi mengawal keselamatan sempadan memandangkan jumlah keanggotaan sedia ada sudah memadai. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...