loading...

Salleh Said Keruak Dilantik Bendahari UMNO

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, dilantik sebagai Bendahari UMNO menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang meletak jawatannya dalam parti pada Jun lalu.

 

Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

 

“Mesyuarat UMNO hari ini dimulakan dengan majlis mengangkat sumpah Bendahari UMNO baharu. Tahniah Datuk Seri Salleh,” katanya pada sidang media.

 

Pada masa sama, Presiden UMNO itu menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Husni, yang katanya telah sekian lama menjalankan tangungjawab sebagai Bendahari dengan begitu baik dan penuh integriti.

 

Salleh, ketika ditemui pemberita, menyatakan penghargaannya kepada presiden parti dan anggota MT atas pelantikan itu. Salleh berkata, beliau berazam untuk menjalankan tugas sebaik mungkin demi meneruskan kelangsungan parti.

 

“Saya adalah seorang pemimpin yang bekerja sebagai satu pasukan dan apapun yang saya lakukan berdasarkan garis panduan yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi dan presiden,” katanya.

 

Pada Jun lalu, Najib ketika mengumumkan rombakan Kabinet memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi. – Bernama

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...