loading...

Rakyat Malaysia Sakit Di London Dibawa Pulang 8 Ogos

KUALA PILAH – Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi Mara Negeri Sembilan, Mohamad Sahar Mhd Noor yang sedang dirawat di Charing Cross Hospital di barat London dijangka dibawa pulang untuk meneruskan rawatan di Malaysia pada 8 Ogos ini.

 

Anak sulungnya, Mohamad Adhwa Mohamad Sahar, 32, berkata beliau dimaklumkan oleh ibunya bahawa bapanya dijangka keluar pada 8 Ogos atau lebih awal, sekiranya keadaan kesihatan bertambah baik.

 

“Petang semalam ibu hubungi saya dan maklumkan bahawa ayah boleh dibawa keluar pada 8 Ogos ini jika keadaannya baik, dan paling awal 6 Ogos jika tiada sebarang komplikasi lain.

 

“Walaupun dibenarkan bawa pulang ke Malaysia, doktor di sana turut menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan ayah sentiasa berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Desa Malang di sini, hari ini.

 

Turut hadir di rumah itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Khidmat Pengurusan), Azhar Abdul Manaf; Pengarah MARA Negeri Sembilan, Mumfahir Suparja; dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar.

 

Mohamad Adhwa berkata, keadaan bapanya kini semakin stabil tetapi badannya masih lemah dan perlu menjalani terapi yang ditetapkan oleh pihak hospital.

 

Beliau berkata, sebelum mereka berangkat ke London, keadaan bapanya sihat seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan lain, kecuali hanya mengalami sakit gout.

 

“Namun tidak sangka pula, ayah secara tiba-tiba pengsan dan diserang angin ahmar sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Heathrow.

 

“Dalam keadaan kelam-kabut itu ayah akhirnya dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan dengan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

 

“Walaupun kami tidak cukup kewangan untuk menjelaskan bil perubatan, namun saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin, terutamanya pihak MARA dan kerajaan negeri yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya.

 

Sementara itu, Azhar berkata Mohammad Sahar telah berkhidmat selama 30 tahun dan MARA akan mengambil tanggungjawab untuk menjaga kebajikan pekerjanya itu, selain membantu menguruskan hal-hal berkaitan untuk membawanya pulang ke Malaysia.

 

Beliau berkata, sebelum ini MARA telah mendahulukan wang sebanyak RM160,281 untuk perbelanjaan perubatan, dan akan mendapatkan perincian jumlah perubatan semasa dari pihak hospital sebelum Mohamad Sahar dibenarkan pulang ke Malaysia.

 

Setelah hampir sebulan di rawat dan tiga minggu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), bil rawatan Mohamad Sahar kini mencecah RM245,764 dan terus meningkat berikutan rawatan sehari yang bernilai RM10,685. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...