loading...

PTPTN bantu peminjam agar tak disenarai hitam

LENGGONG – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengadakan perbincangan bersama industri automotif, bank perdagangan dan pemaju perumahan dalam usaha membantu pembeli daripada disenarai hitam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

 

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, perbincangan dalam tempoh terdekat itu perlu bagi membantu mengurangkan rungutan yang dihadapi oleh peminjam PTPTN kerana gagal untuk membuat pinjaman.

 

Beliau berkata, perbincangan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan itu adalah untuk mendapat pandangan supaya ia tidak memberi kesan negatif kepada peminjam dan sekali gus membantu meringankan beban peminjam.

 

“Peminjam kita yang namanya disenaraikan dalam CRISS bukan berpunca daripada PTPTN sahaja, tetapi kerana beberapa faktor lain seperti ada nama dari kalangan mereka sudah ada dalam sistem CRISS.

 

“Keadaan ini berlaku kerana pinjaman mereka telah melebihi daripada kemampuan yang sebenarnya menyebabkan pinjaman mereka tidak diluluskan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri di Dataran Tampan di sini, hari ini.

 

Baru-baru ini, beberapa syarikat pengeluar kereta mendakwa jualan mereka terjejas kerana nama pembeli disenarai hitam dalam CCRIS disebabkan gagal membayar balik pinjaman PTPTN.

 

Rungutan itu disebabkan penjualan kereta terjejas ekoran bank mengetatkan pinjaman kepada pemohon termasuk pemohon yang baru mendapat pekerjaan kerana mereka tidak membayar pinjaman PTPTN.

 

Beliau yang juga Anggota Parlimen Lenggong menegaskan bahawa penurunan jualan kereta boleh dipengaruhi oleh berbagai faktor dan bukan daripada PTPTN sahaja.

 

Beliau berharap menerusi perbincangan itu nanti, satu jalan penyelesaian dapat dicapai bagi membantu rakyat dalam memudahkan urusan mereka mendapat pinjaman untuk membeli kereta dan rumah.

 

Katanya, pihaknya juga akan menggunakan model yang dilakukan sebelum ini seperti menyertai pameran bergerak bersama dengan Perumahan Rakyat Satu Malaysia (PR1MA) dan ‘showcase MyHouse’ sebagai platform rundingan pemudah cara bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi peminjam PTPTN.

 

Selain itu, Shamsul Anuar berkata, peminjam PTPTN yang mempunyai masalah berkenaan boleh pergi ke lebih 60 kaunter PTPTN di seluruh negara bagi mencari jalan penyelesaiannya.

 

“Kalau ada aduan dalam media sosial dan Facebook ia tidak membantu kita untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

 

Menurut Shamsul lagi, PTPTN dari semasa ke semasa akan meningkatkan kualiti perkhimdatan mereka dalam menjadi sebuah badan pembiaya pendidikan terunggul dalam negara.

 

“Sebagai perbadanan pemberi dan pengutip pinjaman kita sedang berusaha mengubah persepsi rakyat kerana peranaan PTPTN lebih besar dalam proses pendemokrasian pendidikan negara.

 

“Sehingga Jun lepas, PTPTN telah memperuntukkan sebanyak RM56.4 bilion untuk 2.5 juta pelajar dan jumlah itu dijangka akan bertambah. Secara puratanya PTPTN memerlukan RM5 bilion setahun,” katanya. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...