loading...

PM Temui Jokowi Bincang Isu Dua Hala

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia dari 1 hingga 3 Ogos ini sempena Rundingan Tahunan ke-11 di antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia pada 1 Ogos 2016 dan Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) dari 2 hingga 4 Ogos 2016.

 

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan media, menyatakan Rundingan Tahunan ke-11 adalah pertemuan pertama di antara Perdana Menteri dan Presiden Joko Widodo di bawah kerangka mekanisme rundingan tahunan.

 

“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu dua hala yang mempunyai kepentingan bersama di samping meneroka bidang kerjasama dua hala baharu.

 

“Mereka akan turut menyaksikan pemeteraian perjanjian dua hala di antara Bank Negara Malaysia dan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia di bawah kerangka ASEAN Banking Integration Framework (ABIF) dan Perjanjian di antara Kerajaan Republik Indonesia dan Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) berkenaan Sekretariat CPOPC.

 

“Kali terakhir rundingan tahunan diadakan adalah pada 19 Disember 2013 di Jakarta sebelum pelantikan Presiden Joko Widodo. Rundingan Tahunan ke-11 mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan rapat yang sekian lama terjalin,” menurut kenyataan itu.

 

Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri-menteri Kabinet dan pegawai kerajaan daripada kementerian serta agensi berkaitan.

 

Indonesia adalah rakan dagang global ketujuh 7 terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.

 

Nilai perdagangan dua hala Malaysia-Indonesia pada tahun 2015 berjumlah RM60.16 bilion manakala perdagangan dua hala pada tahun 2014 direkodkan bernilai RM59.5 bilion.

 

Sejurus tamatnya Rundingan Tahunan ke-11, Perdana Menteri akan menyertai Forum WIEF Ke-12 dengan tema “Decentralizing Growth, Empowering Businesses”.

 

Forum ini akan membincangkan konsep dan percambahan cabang pembangunan perniagaan yang dilihat mampu memperbaiki kedudukan ekonomi semasa serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara dan masyarakat Islam, serta pasaran ekonomi global.

 

Forum ini akan menjadi platform untuk peserta berkongsi pandangan dan menyediakan peluang kerjasama dalam pelbagai sektor pada masa depan.

 

Forum pada tahun ini dijangka dihadiri lebih 2500 orang peserta.

 

Perdana Menteri selaku Penaung kepada Yayasan WIEF akan menyampaikan ucapan khas pada majlis pembukaan forum itu pada 2 Ogos 2016.

 

Beliau juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya yang akan hadir di Forum WIEF ini bagi membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

 

Di samping itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri beberapa acara sampingan yang akan diadakan sepanjang Forum ini seperti Majlis Pelancaran Global Entrepreneurship Community (GECommunity) oleh Kementerian Kewangan, Malaysia.

 

Beliau juga akan menyaksikan Majlis Pertukaran Perjanjian antara syarikat tempatan dengan syarikat luar negara. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...